PENJAWAT AWAM MERUPAKAN PELAKSANA MENGGERAK SELURUH SISTEM OPERASI KERAJAAN

FOTO WARTA KEDAH

ALOR SETAR (08 JANUARI 2024) – Tahun 2023 telah dilalui dengan pelbagai pengalaman yang harus kita jadikan pedoman untuk melangkah ke tahun baru 2024 dengan semangat dan keazaman yang lebih kuat.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata selaku penjawat awam yang memikul amanah masyarakat, kita harus sentiasa mengingatkan diri dengan tanggungjawab serta balasan di akhirat kerana dalam melaksanakan tugas seharian, apa yang kita lakukan adalah bersangkutan sama ada dosa atau pahala dengan orang lain.

“Dalam mana-mana jua sistem pentadbiran kerajaan, peranan penjawat awam adalah sangat penting. Tidak kira kedudukan, Tuan-Tuan dan Puan-Puan adalah pelaksana yang menggerakkan seluruh sistem operasi kerajaan menjayakan amanah pemerintah kepada rakyat.

“Saya akui kadang kala kita berasa letih dan tertekan namun harus diingat bahawa dalam keadaan kita mungkin berasa begitu teruk, ada orang yang situasinya lebih teruk dan amat mengharapkan bantuan kita. Tugas sebagai penjawat awam adalah suatu tanggungjawab yang perlu diuruskan dengan sepenuh hati, rendah diri dan juga pengorbanan.

“Kita harap ‘The Greater Kedah’ akan mencapai matlamat. Kita tidak boleh lagi sekadar berbangga dengan catatan dalam buku-buku sejarah kerana apa yang lebih penting ialah kehidupan rakyat pada masa ini dan anak cucu kita pada masa hadapan. Matlamat akhir kita ialah menjadikan Kedah sebuah negeri yang sejahtera dan berdaya huni menjelang tahun 2035.

“Justeru, saya amat mengharapkan Tuan-Tuan dan Puan-Puan semua dapat menjiwai semangat ‘The Greater Kedah’ dan menghayati setiap perancangan yang telah diatur bagi memastikan matlamat gagasan besar ini dapat dijayakan sebagaimana yang kita semua impikan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Perhimpunan Pagi Penjawat Awam Bersama Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker DUN Kedah, Zubir Ahmad; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang; Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abd Rahman Abdullah dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.

Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata sekalung tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua agensi dan staf yang terlibat dalam usaha membawa masuk pelaburan ke Negeri Kedah sepanjang tahun 2023.

“Bagi tempoh Suku Ketiga Januari hingga September 2023, Kedah berada pada kedudukan teratas dalam senarai pelaburan negara dengan nilai pelaburan sebanyak RM21 bilion ringgit. Ia adalah peningkatan sebanyak 75 peratus berbanding tempoh sama tahun 2022.

“Dengan sasaran pelaburan tahunan RM10 bilion ditetapkan di bawah Pelan Pembangunan Kedah 2035, pencapaian pada tahun 2023 telah meletakkan kita berjaya mencapai sasaran tanpa gagal sejak tahun 2021, iaitu tahun bermulanya pelaksanaan Pelan Pembangunan Kedah 2035. Pencapaian ini jelas membuktikan bahawa Negeri Kedah sentiasa menjadi pilihan pelabur, terutama dari luar negara.

“Pada tahun 2024, Kerajaan Negeri akan terus komited untuk memastikan kelangsungan momentum pelaburan ini sehingga Negeri Kedah berjaya menempatkan syarikat global Fortune 500 sebagai salah satu pelabur di Negeri Kedah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sanusi turut merasmikan pelancaran Program Bulan Solat dan Penghayatan Al Quran serta pelancaran Pelan Strategik Portfolio Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah 2024-2028.

Pelancaran kedua-duanya bertujuan untuk menggalakkan solat berjemaah Zohor dan Asar, serta penghayatan ayat-ayat suci Al Quran pada waktu pagi di pejabat-pejabat Kerajaan Negeri yang telah dimulakan di Wisma Darul Aman sejak November lalu. Pelan strategik pula bertujuan mengoperasikan Kedah 2035 dalam tempoh lima tahun bermula tahun 2024 hingga 2028 yang menggariskan agenda-agenda tertentu dalam mencapai ‘The Greater Kedah’.

Sumber : Facebook – Warta Kedah