KEMBALIKAN KEGEMILANGAN PEKAN RABU

FOTO SINAR HARIAN

ALOR SETAR (23 JANUARI 2024) – Kerajaan negeri berhasrat mengembalikan kegemilangan Pekan Rabu menjelang Tahun Melawat Kedah 2025.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, kompleks perniagaan yang merupakan ikonik pelancongan Kedah akan ditambah baik bermula tahun ini untuk menyambut kunjungan pelancong.

Menurutnya, semua pihak terlibat diharapkan agar lebih agresif dalam mempromosikan Pekan Rabu menerusi pelbagai platform bagi ‘menghidupkan’ semula kompleks tersebut.

“Kita telah gariskan beberapa aspek yang perlu ditambah baik, teroka dimensi baharu serta giatkan promosi agar Pekan Rabu kembali menjadi lokasi popular dan sentiasa dikunjungi ramai, sama ada penduduk tempatan mahupun pelancong,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Pekan Rabu bersama wakil Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Unit Pembangunan Usahawan Kedah (UPUK) serta Unit Pelancongan Negeri.

Beliau turut diberikan taklimat pengurusan oleh Pengerusi Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad, Mohamed Jalaluddin Mohd Nor.

“Pelbagai perkara dan cadangan dibincangkan untuk kita sama-sama mengangkat semula Kompleks Pekan Rabu yang juga salah satu ikonik pelancongan Kedah. Apa jua pembangunan dalam bandar raya Alor Setar tidak pernah kita sisihkan Pekan Rabu kerana ia sinonim dengan Kedah.”

“Jika Kelantan popular dengan Pasar Khadijah, Terengganu dengan Pasar Payangnya, yang mana kedua-dua lokasi itu sering jadi tumpuan ramai, kenapa Pekan Rabu tak semeriah seperti di sana?

“Ini perlu difikirkan bersama semua pihak untuk cetuskan idea bagi mengangkat kembali kegemilangan Pekan Rabu,” jelasnya.

Mohd Salleh berkata, antara cadangan disyorkan termasuk melanjutkan tempoh operasi Pekan Rabu agar dapat dikunjungi pada waktu malam.

“Ada rungutan premis itu ditutup awal, menjelang tahun depan peniaga mungkin perlu lanjutkan masa sehingga 10 malam, saya percaya ia akan ‘hidupkan’ bandar Alor Setar. Sekiranya ada tarikan baharu, secara tak langsung akan menyusul pula aktiviti sampingan lain di persekitaran,” katanya.

Menurutnya, peniaga juga disyorkan agar menaik taraf pembungkusan produk seiring dengan imej Pekan Rabu.

“Saya sarankan pembungkusan makanan tradisional seperti dodol dan baulu dilakukan penambahbaikan supaya lebih menarik untuk pasaran luar.

“Koperasi juga disaran wujudkan beg plastik khas dengan logo Pekan Rabu untuk kegunaan peniaga, secara tidak langsung pembeli turut mempromosikan Pekan Rabu,” jelasnya.

Mohd Salleh berkata, pengurusan Pekan Rabu juga diminta menyumbang idea untuk menarik kunjungan antaranya dengan menganjurkan aktiviti atau acara dalam premis tersebut, selain memperindahkan dekorasi dalaman agar lebih ceria.

“Kita perlu hidupkan kembali Pekan Rabu seperti era kegemilangannya yang cukup popular dalam kalangan pelancong luar suatu ketika dahulu. Semua pihak harus mainkan peranan masing-masing agar Pekan Rabu yang menjadi kebanggaan negeri ini tidak ‘tenggelam’ dek usia.

“Peranan Pekan Rabu cukup besar dalam sosio ekonomi orang Melayu, sebab itu kerajaan negeri tidak pernah pinggirkan Pekan Rabu dalam agenda pembangunan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, antara pembaharuan lain termasuk kelulusan membenarkan bas pelancong diparkir di kawasan lapang Dataran Balai Seni untuk mudahkan kehadiran pengunjung.

“Semua pakej pelancongan dalam dan luar negara akan mempromosikan Pekan Rabu sebagai lokasi persinggahan dalam kempen Tahun Melawat Kedah 2025.

“Semua agensi pelancongan perlu masukkan Pekan Rabu sebagai lokasi wajib singgah, sementara Tourism Kedah perlu uar-uarkan dalam setiap pembentangan promosi pelancongan,” katanya.

Jelasnya lagi, harga produk makanan dalam premis tersebut juga harus berpatutan kerana ia memainkan peranan menarik pengunjung.

“Ada aduan barangan dijual kini agak mahal, sebelum ini Pekan Rabu menjadi tarikan disebabkan harga murah.

“Jadi peranan peniaga amat diperlukan untuk selaraskan harga produk, selain peniaga sendiri disaran mempromosikan produk menerusi laman sosial seperti TikTok atau Facebook. Gunakan manfaat media sosial untuk tarik pengunjung,” katanya.

Mohd Salleh berharap peniaga bersedia bersama kerajaan negeri menjayakan Tahun Melawat Kedah 2025, selain dibantu MBAS menceriakan lanskap bandar raya Alor Setar dengan pelbagai aktiviti menarik.

Sumber : Sinar Harian