RAJA MUDA KEDAH HADIR MAJLIS BACAAN YASIN NISFU SYA’ABAN 1445 HIJRAH

FOTO WARTA KEDAH

ALOR SETAR (24 FEBRUARI 2024) – Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehudin berkenan berangkat hadir ke Majlis Bacaan Yasin dan Doa sempena Nisfu Sya’aban Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2024 bersamaan 1445 Hijrah di Masjid Zahir di sini, hari ini.

Dalam Majlis Bacaan Yasin tersebut Raja Muda Kedah bersama jemaah membaca Yasin sebanyak tiga kali selepas Solat Maghrib dan setiap kali bacaan yasin disusuli dengan bacaan doa. Pada bacaan Yasin kali pertama diniatkan dengan memohon dipanjang umur dengan keberkatan, pada bacaan kali kedua diniatkan dengan memohon agar dijauhkan daripada bala dan pada bacaan kali ketiga diniatkan memohon rezeki yang halal dan mati dalam keimanan.

Majlis Bacaan Yasin tersebut dipimpin oleh Imam Besar Masjid Zahir, Sheikh Mohd Naim Ahmad. Selesai bacaan Yasin, Raja Muda turut menunaikan solat Isyak berjemaah dan beramah mesra bersama jemaah dan seterusnya keberangkatan pulang Baginda.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Mohd Azam Abd Samat; Speaker DUN Kedah, Mohd Zubir Ahmad; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Sheikh Fadzil Awang, Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Sheikh Abdul Rahman Abdullah dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Dato’ Abd Ghani @ Zulkifli Zainudin.

Sumber : Warta Kedah