KEDAH BAKAL TERIMA PELABURAN RM50 BILION DARI 8 SYARIKAT CHINA

FOTO WARTA KEDAH

ALOR SETAR (05 MAC 2024) – Misi Kerajaan Negeri ke China pada Januari lalu merupakan usaha berterusan Kerajaan Negeri bagi membolehkan kita terus relevan dan kompetitif bagi memastikan kelangsungan segala agenda strategik Kerajaan Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata kita telah pergi ke empat daerah terbesar di China dimana kita melihat peluang-peluang pelaburan untuk dibawa masuk ke negara kita khususnya Negeri Kedah yang perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya.

“Kegeseran di antara China dan Amerika Syarikat yang mempunyai kadar KDNK terbesar ini perlulah diambil peluang oleh Kedah bagi menarik syarikat-syarikat dari China khususnya yang ketika ini mula bergerak keluar dari China kerana tekanan perdagangan yang dibuat oleh Amerika Syarikat dalam masa yang sama usaha-usaha oleh Amerika Syarikat untuk melihat landskap dan pengaruh kuasa ekonomi diperluaskan ke rantau ini.

“Misi baru-baru ini kita memberi fokus bagi segmen semi konduktor, elektrik dan elektronik, teknologi hijau serta sumber tenaga. Dalam lawatan tersebut, kita dapat memberi gambaran serta merumuskan dengan apa yang berlaku kepada syarikat dari Taiwan yang berada di daerah China yang menguasai 57 peratus perkongsian market semi konduktor pengeluaran cip bernilai USD 729 bilion telah keluar dari negara China kerana tekanan perdagangan dunia dengan membuka kilang di Texas, Amerika Syarikat pula.

“Di sini kita melihat syarikat-syarikat China telah keluar dari China dan inilah ruang yang kita inginkan dengan membawa masuk syarikat-syarikat tersebut ke negeri Kedah yang bukan sahaja dari China tetapi juga kita lihat kini syarikat-syarikat dari Eropah serta Amerika Syarikat juga seperti ATNS dengan nilai pelaburan sebanyak RM8.7 bilion, Intel bernilai RM12.45 bilion, Infineon bernilai RM8 bilion dan dua syarikat dari China iaitu Risen Solar bernilai RM42.23 bilion dan Syarikat EVE Energy bernilai RM4.1 bilion datang melabur di Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dibangkitkan oleh ADUN Guar Chempedak, Abdul Ghafar Saad dalam Persidangan Dewan Negeri Kedah, Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Dalam sesi pertanyaan mulut, Ghafar minta dinyatakan apakah misi pelaburan dan lawatan kerja ke China pada 9 hingga 20 Januari 2024 yang lalu.

Dalam perkembangan sama, Haim berkata dengan kata lain seperti titah Tuanku Sultan Kedah kelmarin, bahawa jumlah pelaburan yang masuk ke negeri ini dari Tahun 2021 hingga 2023 berjumlah RM105 bilion.

“Apa yang boleh dirumuskan kini, kita sebagai negara berkecuali yang mana digunakan oleh Kerajaan Malaysia terus kekal dengan pendekatan tersebut memandangkan kita negara kecil dan kita harus menjadi rakan kepada negara-negara besar serta berkawan dengan semua negara.

“Dengan demikian, misi di China tersebut kita telah berjumpa dengan lapan buah syarikat yang berminat melabur di negeri Kedah sekitar RM50 bilion dan jika ini benar-benar berlaku, maka satu perubahan besar yang menjadi ‘game changer’ kepada negeri kita serta mengharapkan sokongan berterusan kerajaan pusat dengan mengenepikan perbezaan dalam konteks politik kerana ianya merugikan bangsa, negeri serta negara kita dan kita harus berani dan yakin melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara yang tidak memisahkan atas nama negeri yang tidak sealiran dengan kerajaan pusat.

“Saya yakin dan percaya kita dapat mempromosikan Kulim Hi-Tech Park yang telah mempunyai infrastuktur lengkap dan terbaik yang menjadi contoh kepada negara. Dengan kata lain, Menteri Besar kita merupakan figura yang membawa kita bekerja lebih kuat bagi membolehkan kita menjadi sebuah negeri yang paling kehadapan dalam segi pelaburan,” ujarnya.

Sumber : Warta Kedah