TASK BERI SUMBANGAN BTS DAN IHYA’ RAMADHAN KEPADA 300 ORANG PENERIMA

FOTO WARTA KEDAH

PENDANG (06 MAC 2024) – Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah, Dulị Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Sumbangan Kembali Kesekolah (BTS) dan Ihya’ Ramadhan Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) di Dewan Cenderawasih, Pendang di sini, hari ini.

Seramai 300 orang menerima kurniaan sumbangan BTS dan Ihya’ Ramadhan mewakili dua daerah iaitu Pendang dan Pokok Sena telah menerima sumbangan masing-masing 150 orang setiap daerah berupa wang tunai dan beg sekolah yang telah disempurnakan pengurniaan oleh Tunku Mahkota Kedah dan wang tunai serta bakul makanan yang disempurnakan oleh Raja Muda Kedah.

Raja Muda Kedah ketika ditemui media mengucapkan tahniah kepada TASK yang telah ditubuhkan ini dan berjaya menyusun atur program yang seumpama ini bagi membantu golongan rakyat yang amat-amat memerlukan bukan sahaja kepada golongan miskin malah juga kepada pelajar-pelajar sekolah serta rakyat yang kekurangan ketika hendak menyambut bulan Ramadhan yang bakal tiba.

“Saya menggalakkan supaya TASK memperbanyakan lagi program sumbangan seperti ini kerana bukan sahaja golongan pelajar tetapi di posisi lain, golongan asnaf di kampung-kampung juga memerlukan bantuan seperti membina semula rumah yang daif dan sebagainya.

“Selain itu, saya juga menasihatkan rakyat negeri ini supaya menjaga kesihatan memandangkan sekarang ini musim panas dan diharap rakyat semua kurangkan melakukan aktiviti di luar dan sentiasa berada di dalam bangunan dan tempat-tempat teduh agar dapat dihindari strok haba,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Ahli Lembaga Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK), Dato’ Pengelola Bijaya Diraja Dato’ Paduka Bakar Din; Pengurus Besar Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK), Azhan Abdul Hamid; Pegawai Daerah Pendang, Nasrun Dato’ Mohd. Sheriff; Pegawai Daerah Pokok Sena, Mohamad Rizal Mohamad Radzi dan Pengerusi Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Negeri Kedah, Jamani Jamaludin.

Terdahulu Dato’ Paduka Bakar Din dalam ucapannya berkata Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) telah ditubuhkan pada Oktober 2022 dan mula aktif sejak tahun lalu dengan perancangan pelbagai program dan aktiviti yang bertujuan untuk memajukan kebajikan sosial, pendidikan, kesihatan, dan sukan di negeri ini demi menyumbang ke arah pembangunan insaniah dan kebajikan rakyat Negeri Kedah terutamanya kepada golongan yang berpendapatan rendah. Penaung TASK ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah sendiri.

“Bagi penganjuran majlis pada hari ini pihak pengurusan TASK bersama Kesatuan Penghulu Negeri Kedah telah bertemu Pegawai Daerah Pendang dan Pegawai Daerah Pokok Sena pada Februari yang lalu.

Susulan perbincangan tersebut, sebanyak 300 penerima sumbangan dari dua daerah yang berbeza iaitu Daerah Pendang dan Daerah Pokok Sena telah dipilih bagi pelaksanaan, sumbangan Back To School dan sumbangan Ihya’ Ramadhan ini.

“Aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan oleh TASK sejak penubuhannya termasuklah program-program yang telah dianjurkan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPNK) dalam melaksanakan Program Pengukuhan dan Motivasi Diri bagi Pelajar Sekolah-sekolah di Negeri Kedah.

“Untuk makluman hadirin, kerjasama juga telah terjalin antara TASK dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) dalam pelaksanaan Program Bantuan Makanan Tambahan Susu Tepung Penuh Krim untuk ibu hamil dan juga Program Pemulihan Kanak-kanak Kekurangan Zat Makanan di Negeri Kedah. TASK juga telah bekerjasama dengan Pengerusi Kesatuan Penghulu Negeri Kedah untuk menyokong Program Baik Pulih Rumah bagi golongan yang memerlukan di Daerah Padang Terap.

“Pada Majlis Pengurniaan Sumbangan Back To School (BTS) Dan Sumbangan Ihya’ Ramadhan hari ini TASK dengan rendah diri telah menyediakan bantuan sumbangan kepada 150 orang pelajar penerima sumbangan Back-To-School dan 150 orang penerima sumbangan Ihya Ramadhan dari Daerah Pendang dan Daerah Pokok Sena. Bantuan ini termasuk sumbangan bakul makanan, wang tunai, baucar pasaraya, dan baucar pakaian sekolah. Semua ini adalah usaha untuk meringankan beban keluarga sempena menyambut Ramadhan yang mulia dan menyuntik semangat para pelajar untuk kembali ke sekolah pada 10 Mac ini,” ujarnya.

Sumber : Warta Kedah