PELBAGAI INISIATIF KERAJAAN NEGERI DIKETENGAHKAN UNTUK PEMAIN SEKTOR PERTANIAN

FOTO WARTA KEDAH

ALOR SETAR (07 MAC 2024) – Sektor pertanian terutamanya pengeluaran beras adalah sektor “lifeline” yang menjadi nyawa dan asas keselamatan atau sekuriti makanan negeri serta negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan Dan Pengangkutan, Dzowahir Abd Ghani berkata dalam memastikan isu berkaitan sekuriti makanan berada di tahap meyakinkan pihak Kerajaan Negeri Kedah telah melancarkan pelan strategik portfolio pertanian dan perladangan yang menjadi titik revolusi kepada sektor pertanian di negeri Kedah.

“Hasrat Kerajaan Persekutuan di dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0, Dasar Sekuriti Makanan Negara dan Dasar Agrikomoditi Negara digarap baik di dalam perancangan strategik negeri Kedah dimana kebergantungan kepada sumber makanan import perlu diminimakan dan pasaran tempatan perlu distabilkan.

“Merujuk kepada titah Tuanku Sultan Kedah agar tidak memperluaskan kawasan jelapang padi sedia ada, Kerajaan Negeri Kedah telah merangka langkah wajar dalam meningkatkan produktiviti padi di negeri ini dimana Kerajaan Negeri bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Jabatan Pertanian Negeri Kedah (JPNK) bekerjasama dalam Projek Penanaman Padi 5 Kali 2 Tahun, meliputi keluasan tanah sawah seluas 169.2 hektar dengan penglibatan seramai 111 orang pesawah di bawah pihak MADA dan seluas 110.0 hektar pula diusahakan oleh 105 orang pesawah di bawah pihak JPNK dengan merekodkan pencapaian yang memberangsangkan.

“Selain itu, pihak Kerajaan Negeri turut menitikberat nasib pesawah yang merupakan “power house” sektor pertanian padi dan beras, dimana seiring titah Tuanku Sultan Kedah agar memberi perhatian akan nasib golongan ini memandangkan kini kos input pertanian adalah tinggi dan hasil pendapatan mereka sangat rendah dimana keringat mereka diperah dan balasannya adalah tidak setimpal.

“Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dengan kerjasama Bahagian Teknologi Maklumat Kedah (BTMK) dan JPNK telah dibina secara “In-House’ bertujuan memudahcara pengurusan pengesahan benih padi oleh Jabatan Pertanian dan pengilang-pengilang yang diberi kuota benih padi. Sistem ini juga dirangka bagi membolehkan pesawah-pesawah mendapat maklumat yang sahih dan tepat berkaitan kedudukan semasa keperluan dan “supply” benih padi di negeri ini dan ia bakal dilancarkan kelak.

“Selain tu, perancangan guna tanah bagi sumber makanan dan pembangunan lain juga perlu diteliti dengan sebaiknya agar ianya memberi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat Kedah khususnya agar negeri ini dapat berkembang dan mendokong keperluan negara.

“Pihak Kerajaan Negeri sedang menggerakkan satu perancangan strategik menyeluruh yang mengambil kira faktor kesinambungan sektor pertanian kepada generasi akan datang. Program Pemerkasaan Sektor Pertanian Negeri Kedah adalah usaha pihak Kerajaan Negeri bagi pemerkasaan pengkalan data pertanian secara “big data” yang akan menjadi rujukan berpusat.

“Pangkalan data ini dapat membantu pihak negeri dalam mengenalpasti “hotspot” pertanian dalam daerah, mukim, DUN dan Parlimen dimana jenis tanaman, jenis ternakan, jenis akuakultur subsektor perikanan, produk hiliran, keluasaan usaha, kawasan padi dalam dan luar jelapang, semuanya di dalam satu paparan sebagai sebuah data pertanian berpusat.

“Dengan adanya pangkalan data ini, pemadanan pemain industri yang berkelayakan atau “market champion” bagi meneruskan agenda sinergi kerjasama awam dan swasta dalam hal-hal berkaitan tenaga pakar, teknologi dalam pertanian, pemasaran dan pengkomersilan, pengurusan kos atau modal dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Penggulungan Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Kedah dalam Persidangan Dewan Negeri Kedah, Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dzowahir berkata subsektor lain-lain tanaman seperti getah tidak diketepikan. Walaupun ianya adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perladangan dan Komoditi yang bertanggungjawab dalam prestasi sektor agrikomoditi dari pengeluaran, pemprosesan dan pembuatan sehingga ke pemasaran, rakyat negeri Kedah tetap menjadi keutamaan Kerajaan Negeri.

“Jika tidak membantu secara total dalam mengurangkan kos, pihak Kerajaan Negeri membantu dalam meningkatkan pendapatan pekebun. Lawatan tanda aras dan lawatan ke tapak-tapak tanaman bukanlah lawatan semata-mata. Tanda aras atau “benchmarking” adalah suatu proses yang perlu dilalui dalam mengenal pasti ruang dan peluang penambahbaikan.

“Pihak Kerajaan Negeri melalui Portfolio Pertanian dan Perladangan telah mengambil pendekatan dan ianya dimanifestasikan dalam Pelan Strategik Portfolio Pertanian dan Perladangan. Strategi dan inisiatif telah dirangka dan dalam tindakan perlaksanaan oleh setiap agensi peneraju bagi sektor pertanian.

“Tidak hanya berbicara berkaitan penghasilan usahawan atau produk baru, tetapi perancangan dan tindakan dalam memastikan golongan agromakanan dan agrikomoditi ini kekal relevan, berpendapatan setimpal, tinggi dan berdaya saing di dalam pasaran yang mencabar ini,” ujarnya.

Sumber : Warta Kedah