RAJA MUDA KEDAH BERKENAN HADIR MAJLIS NUZUL AL-QURAN PERINGKAT NEGERI KEDAH

FOTO WARTA KEDAH

ALOR SETAR (27 MAC 2024) – Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin berkenan mencemar duli mewakili Sultan Kedah hadir ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Kedah Di Masjid Al Bukhary, Alor Malai di sini, hari ini.

Sebelum Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran bermula, Baginda dan para jemaah menunaikan solat Isyak dan Tarawih secara berjemaah di masjid berkenaan yang diimamkan oleh Ustaz Mohd Fidail Zainal Abidin, Imam Masjid Syarifah Fatimah, Paya Kemunting Jitra dan di teruskan dengan ceramah khas Nuzul Al-Quran oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Mohd Ilyas Ismail, Pendakwah Bebas.

Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) diadakan adalah bertujuan memperingati peristiwa turunnya Al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW yang pada masa itu berusia 41 tahun iaitu pada malam Jumaat 17 Ramadhan, bersamaan dengan tarikh 6 Ogos 610M, sewaktu Baginda sedang beribadat di Gua Hira.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Mohd Azam Abd Samat; Speaker DUN Kedah, Zubir Ahmad; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Sheikh Fadzil Awang; Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abd Rahman Abdullah dan Pengarah JHEAIK, Dato’ Abd. Ghani@Zulkifli Zainuddin.

Sumber : Warta Kedah