PIHAK BERKEPENTINGAN PERLU PASTIKAN PENGURUSAN SUMBER AIR DILAKSANA SECARA LEBIH BERKESAN

BANDAR BAHARU (22 APRIL 2024) – Kerajaan Negeri di bawah Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) menyeru semua pihak berkepentingan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung berkaitan pengurusan sumber air untuk sama-sama memberikan kerjasama yang baik bagi memastikan pelaksanaan pengurusan sumber air secara lebih berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air Dan Alam Sekitar Negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria menyeru kepada semua pihak berkepentingan agar memberi perhatian, tumpuan serta mengambil tindakan yang berterusan demi memastikan pengurusan sumber air di negeri ini dilaksanakan secara lestari bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

“Suka saya kongsikan di sini bahawa LSANK adalah sebuah agensi pengurusan sumber air di Negeri Kedah berlokasi di Wisma Darul Aman, Alor Setar dan bertanggungjawab untuk memastikan sumber air negeri, termasuk lembangan sungai, air bawah tanah dan permukaan, tasik, kolam dan bekas lombong serta persisiran pantai sentiasa berada di dalam keadaan terpelihara.

“Sepanjang penubuhan LSANK sehingga kini, pelbagai isu dan pembaharuan yang telah dilaksanakan bagi memberikan perkhidmatan sumber air di Negeri Kedah secara mampan selaras dengan slogan iaitu ‘Pengurusan Sumber Air Yang Mampan’.

“Oleh yang demikian, adalah menjadi hasrat saya untuk melihat semua pihak berkepentingan terlibat secara langsung dalam pengurusan sumber air untuk sama-sama berganding bahu bagi memastikan pelaksanaan pengurusan sumber air secara lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 di Dataran Bandar Baharu di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam Dan NGO Negeri Merangkap ADUN Kulim, Wong Chia Zhen; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Syed Khairul Anuar Syed Abidin; ADUN Bandar Baharu, Dr Mohd Suffian Yusoff; Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri, Ahmad Solihin Budarto; Pengarah Sumber Air Negeri, Syed Amaluddin Hafeez Syed Musa dan Pegawai Daerah Bandar Baharu, Mohd Noor Ismail.

Dalam pada itu, Munir juga berkata pemilihan Daerah Bandar Baharu sebagai lokasi penganjuran program Hari Air Sedunia pada kali ini adalah untuk menonjolkan Sungai Kerian seluas lebih kurang 1,418 kilometer persegi sebagai lembangan sungai utama yang menghubungkan tiga negeri iaitu Kedah (Bandar Baharu), Pulau Pinang (Nibong Tebal) dan Perak (Parit Buntar).

“Tujuan sambutan ini diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada orang awam serta memperbaharui tekad semua lapisan masyarakat untuk menangani isu-isu berkaitan air melalui pelan strategik dan pelaksanaan tindakan oleh setiap negara.

“Bagi tahun 2024, Sambutan Hari Air Sedunia pada kali ini bertemakan ‘Water for Peace’ atau ‘Air Untuk Keamanan’ yang bertujuan untuk memanfaatkan sumber air sebagai sumber yang tidak ternilai dalam kehidupan harian. Air merupakan nadi kehidupan dan juga menjadi pemangkin untuk kerjasama dan konflik,” tambahnya.

Sumber : Warta Kedah