201 QARI DAN QARIAH SERTAI HAFAZAN DAN TILAWAH AL-QURAN TAHUN 2024M/1445H

ALOR SETAR (25 APRIL 2024) – Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Saringan bagi tahun ini telah diadakan secara berasingan iaitu Saringan Hafazan diadakan pada14 hingga 16 Januari 2024 manakala acara Tilawah Saringan telah diadakan pada 22 hingga 23 Januari 2024, kedua-duanya bertempat di Dewan Masjid Al-Hasanah Ampang Jajar, Alor Setar.

Secara keseluruhannya seramai 201 orang peserta, terdiri dari 143 orang peserta telah mengambil bahagian dalam kategori Hafazan dan 58 orang telah mengambil bahagian dalam kategori Tilawah. Penyertaan peserta pada tahun ini merekodkan pertambahan sebanyak hampir 40 peratus berbanding tahun lalu. Seramai 14 orang peserta Tilawah telah memperdengarkan bacaan masing-masing dan 37 orang peserta hafazan telah diuji hafazan mereka di peringkat Negeri pada tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali berkata pada tahun ini, terdapat sedikit pembaharuan dibuat dalam acara tilawah yang diadakan selama dua malam berturut-turut iaitu terdapat intisari ayat disampaikan secara “Ibrah” iaitu disampaikan oleh beberapa orang personaliti seperti bagi menyatakan maksud ayat dan iktibar dari ayat yang disampaikan agar lebih jelas dan mudah difahami.

“Pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah melalui Bahagian Dakwah telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Program Tahsin Al Quran kepada para peserta Tilawah dan Hafazan yang akan mewakili Negeri ke peringkat Kebangsaan sebagai bekalan ilmu dan latihan intensif sebelum mereka bertolak ke sana.

“Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula 23 sehingga 28 Mei 2024 di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Perasmian Penutup Majlis Hafazan dan Tilawah Al-Quran Peringat Negeri Kedah Tahun 2024 Masihi bersamaan 1445 Hijrah di Raia Hotel & Convention Centre di sini, hari ini.

Berangkat hadir Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia Dan Sukan Negeri, Muhammad Radhi Mat Din; Speaker DUN Kedah, Zubir Ahmad; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang; Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abd. Rahman Abdullah; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Dato’ Dr. Abd Ghani @ Zainuddin.

Dalam pada itu, Norizan juga turut mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh jentera petugas yang telah memberi komitmen penuh bagi menjayakan Majlis Tilawah dan Hafazan Al Quran dari awal hingga akhir. Tanpa komitmen dan kerjasama dari semua, sukarlah bagi kita untuk merealisasikan apa-apa program yang disusun atur oleh pihak Kerajaan Negeri.

“Berkat kerja berpasukan dan saling bantu-membantu berjaya melaksanakan majlis ini hinggalah ke malam kemuncak, bak kata pepatah “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”. Meskipun terpaksa berhadapan dengan berbagai kekangan dan halangan, kecekalan daripada semua pihak telah membuahkan kejayaan yang manis dan nostalgia yang indah. Semoga kita akan sentiasa berdaya maju dan proaktif dalam menaburkan khidmat bakti terhadap agama, bangsa dan negeri tercinta ini.

“Saya sentiasa mendoakan semoga segala usaha dan jerih payah para peserta dan urusetia ini membuahkan hasil dan kejayaan yang membanggakan diperingkat kebangsaan nanti. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, ucapan tahniah dan syabas kepada para peserta yang berjaya menempah kemenangan diperingkat negeri dan kepada yang tidak berjaya tingkatkan daya usaha, perbaiki segala kekurangan dan jangan sesekali berputus asa,” ujarnya.

Tuanku Sultan Kedah dan Tuanku Raja Muda Kedah telah berkenan menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang Tilawah Al-Quran dan pemenang kategori Hafazan Al-Quran yang mengambil bahagian pada kali ini.

Dalam majlis berkenaan, Muhammad Ammar Mukhlis Abdul Mohsin diumumkan sebagai Johan Qari manakala Nurul Husna Sharif menyandang Johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kedah tahun 1445H/2024M, masing-masing membawa pulang piala Tuanku Sultan Kedah, Sijil Penghargaan dan wang tunai berjumlah RM10 ribu setiap seorang dan akan mewakili Negeri Kedah ke Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan nanti.

Manakala Johan Hafazan Juzuk 1 hingga 30 dan Tafsir kategori lelaki disandang oleh Muhammad Rifae’i Mat Zuki dari Akademi Darul Ilmi, Sungai Petani manakala Nur Hani Abdul Razak dari UniSHAMS diumum sebagai Johan kategori perempuan dan masing-masing menerima hadiah Sijil Penghargaan dan wang tunai berjumlah RM10 ribu setiap seorang.

Sumber : Warta Kedah