UMAT ISLAM DISERU AGAR TERUS KOMITED MENDALAMI DAN BERAMAL DENGAN AL-QURAN

ALOR SETAR (25 APRIL 2024) – Terdapat pelbagai bentuk panduan dan bimbingan penting yang dibawa melalui kitab suci Al-Quran, khususnya kepada umat Islam dan seluruh umat manusia. Melalui Al-Quran, kita dapat mempelajari sejarah silam kehidupan manusia di masa lampau, dan ianya menjadi panduan dan bimbingan kepada kehidupan kita semua pada masa kini.

Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah, Al-Quran juga memberi panduan kepada kita mengenai pelbagai aspek kehidupan seperti hubungan kekeluargaan, hubungan dalam masyarakat, sains, politik, agama, undang-undang, pentadbiran, ekonomi, pengurusan harta, perubatan dan lain- lain. Dengan terdapatnya pelbagai aspek atau perkara yang dibawa melalui kitab Al-Quran ini, ia sekaligus menjadikan Al-Quran sebagai sebuah kitab yang amat istimewa.

“Al-Quran membawa pelbagai jenis manfaat, bukan sahaja terhadap umat Islam, malah kepada semua umat manusia di serata dunia. Untuk mempelajari, mendalami dan mengamalkan kitab suci Al-Quran adalah penting untuk kita fahami akan maksud, makna atau intipati serta tafsiran yang ingin disampaikan melaluinya.

“Mempelajari, mendalami dan mengamalkan apa yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran, haruslah dilakukan dengan komited dan berterusan oleh semua umat Islam yang ingin mendapatkan panduan, bimbingan serta manfaat daripadanya agar memperolehi kejayaan di dunia dan di akhirat.

“Apa yang penting di sini ialah perlunya membetulkan amalan melalui pemahaman dan kejelasan terhadap isi kandungan Al-Quran, ketika mentafsirkan ayat-ayat suci dan hukum-hukum, sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.

“Joseph E. Lowry dalam bukunya, “Reading The Qur’an As A Law Book, Legislation Language And Allusion In Islam Scripture” menyebutkan bahawa “Allah menciptakan dunia, menciptakan manusia dan yang terpenting memberi manusia pengajaran dan panduan dalam hidup mereka. Mulai dari makanan mana yang harus dimakan, haiwan mana yang halal dan haram dimakan, hingga diutuskan para nabi untuk menyampaikan pesanan Tuhan,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian dalam Titah Ucapan Perasmian Penutup Majlis Hafazan dan Tilawah Al-Quran Peringat Negeri Kedah Tahun 2024 Masihi bersamaan 1445 Hijrah di Raia Hotel & Convention Centre di sini, hari ini.

Berangkat hadir sama Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia Dan Sukan Negeri, Muhammad Radhi Mat Din; Speaker DUN Kedah, Zubir Ahmad; Mufti Negeri Kedah Darul Aman, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang; Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abd. Rahman Abdullah; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Dato’ Dr. Abd Ghani @ Zainuddin.

Dalam perkembangan sama, Baginda turut bertitah melalui wahyu Al-Quran, turut memberitahu manusia tentang teologi dunia, konsep pengakhiran dunia dan orang-orang yang kelak akan diadili di sana. Segala intipati ini, menyingkap keistimewaan Al-Quran sebagai kitab wahyu.

“Hadirin sekalian, Kerajaan Negeri Kedah telah mengambil inisiatif, dengan menganjurkan program Bulan Solat dan Penghayatan Al-Quran, dengan kerjasama Yayasan Islam Negeri Kedah, dan Institut Al-Quran Darul Aman bagi menggalakkan penglibatan masyarakat dalam mengerjakan solat secara berjamaah dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran. Pelaksanaan ini diharapkan dapat menjadi inspirasi ke arah memartabatkan Al-Quran di negeri ini.

“Beta berharap agar kegemilangan Negeri Kedah dalam menjuarai pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa, pada suatu ketika dahulu dapat dikembalikan. Diharapkan kepada individu yang telah berjaya, agar dapat menggandakan lagi usaha, sehingga mencapai kejayaan yang lebih cemerlang. Beta yakin, para Qari dan Qariah daripada Negeri Kedah, dapat mengungguli dan seterusnya menjuarai pertandingan tersebut. Akhir titah, Beta berdoa agar kita semua dirahmati dan dipelihara Allah, dikuatkan iman dan taqwa kepadaNya, serta diberkati dalam kehidupan,” ujarnya.

Di dalam majlis yang sama Kebawah Duli Tuanku berkenan menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang-pemenang Tilawah Al-Quran, manakala Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Kedah berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori Hafazan.

Sumber : Warta Kedah