JEMAAH HAJI KEDAH HARUS SENTIASA PATUH ARAHAN DAN SARANAN TH – SULTAN KEDAH

ALOR SETAR (17 MEI 2024) – Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan bakal haji bagi penerbangan terakhir jemaah haji Negeri Kedah di Raia Hotel, Alor Setar di sini, hari ini.

Seramai 142 orang bakal jemaah haji daripada negeri Kedah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar hari ini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijadualkan bertolak ke tanah suci pada penerbangan sewa khas haji pada malam hari yang sama.

Baginda dalam titahnya menasihati kesemua para tetamu Allah yang terpilih pada tahun ini untuk mengekalkan tahap disiplin yang tinggi di samping mematuhi segala arahan dan saranan daripada pihak pengurusan Tabung Haji (TH).

“Umat Islam di Negeri Kedah harus bersyukur, kerana TH sentiasa mengambil berat akan kebajikan para jemaah haji dengan menganjurkan pelbagai kursus serta menyediakan perkhidmatan dan kemudahan dengan infrastruktur yang baik bermula di tanah air sehinggalah ke tanah suci.

“Para jemaah haji tidak perlu bimbang, ikhlaskan niat dan berlapang dada dalam melaksanakan ibadat haji dengan sempurna selain mematuhi semua nasihat dan arahan yang diberikan oleh pihak TH.

“Setiap musim haji, Kerajaan Arab Saudi akan membenarkan hampir tiga juta jemaah dari seluruh dunia untuk ke tanah suci bagi mengerjakan ibadat haji. Keadaan di tanah suci pasti akan sesak dan pastinya mencabar. Justeru itu, Beta berharap kepada para jemaah haji semua agar dapat bersabar, bertoleransi dan membantu sesama saudara Islam tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam dan budaya,” ujar Baginda.

Baginda bertitah demikian dalam Titah Ucapan Tuanku Sultan Kedah sempena Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Negeri Kedah Darul Aman Musim Haji 1445H/2024M di Raia Hotel & Convention Centre di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Mohd Azam Abd Samat; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang; Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abdul Rahman Abdullah; Pegawai Daerah Kota Setar, Hakim Ariff Md Nor dan Pengarah Urusan Kumpulan Dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman.

Terdahulu, Syed Hamadah ketika mempersembah ucapan aluan turut menjelaskan penerbangan bakal-bakal haji Kedah merupakan penerbangan ke-25 daripada keseluruhan 100 penerbangan sewa khas haji yang disediakan untuk membawa seramai 31,600 orang bakal haji Malaysia bagi Musim Haji 1445H/2024M. Seramai lebih 7,000 orang bakal haji negara kini telah berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah.

Beliau turut mengingatkan bakal-bakal haji untuk menjaga kesihatan diri sepanjang berada di tanah suci, di samping menuruti segala arahan pihak berkuasa Arab Saudi serta peraturan-peraturan yang digariskan TH bagi menjamin keselamatan jemaah dan melicinkan lagi proses mengerjakan ibadah haji.

“Anda semua merupakan wakil negara sepanjang berada di Tanah Suci seharusnya sentiasa mempertahankan budaya rakyat Malaysia yang berpengetahuan tinggi serta menunjukkan imej dan identiti yang terbaik selaras dengan hasrat TH untuk menjadikan jemaah haji Malaysia sebagai model terbaik kepada jemaah negara Islam dan juga masyarakat antarabangsa.

“Penerbangan bakal haji dari Kedah ini akan bergabung dengan bakal haji dari Johor seramai 142 orang, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 284 orang. Mereka akan berlepas daripada KLIA menaiki pesawat MH8082 yang dijadualkan pada jam 10.50 malam dan dijangka tiba di Madinah pada jam 2.35 pagi waktu Arab Saudi,” katanya.

Sumber : Warta Kedah