KERAJAAN NEGERI MENYAMBUT BAIK HASRAT YAYASAN TERENGGANU

KUALA TERENGGANU (28 MEI 2024) – Kerajaan Negeri Kedah menyambut baik hasrat Yayasan Terengganu dalam menghantar pelajar, anak Terengganu bagi mengikuti pengajian dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dan seterusnya menjadi doktor perubatan Muslim yang mempraktikkan nilai-nilai Islam.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata perjanjian kerjasama yang ditandatangani oleh Yayasan Terengganu dan UniSHAMS pada hari ini akan menjadi titik permulaan kepada satu usaha yang sangat baik untuk memartabatkan pembangunan pendidikan di kalangan anak bangsa dan seterusnya melahirkan ahli perubatan yang mampu memberikan sumbangan balik serta menabur khidmat bakti kepada masyarakat.

“Sebagai langkah proaktif, pihak Kerajaan Negeri Terengganu berhasrat membuka laluan pengajian dalam negara sebagai langkah alternatif bagi membolehkan lebih ramai anak Terengganu berpeluang mengikuti program sebegini dengan kadar yuran pengajian yang lebih rendah berbanding institusi pengajian swasta yang lain.

“UniSHAMS adalah satu-satunya universiti milik penuh Kerajaan Negeri Kedah yang menawarkan 42 program pelbagai bidang, bermula dari peringkat Pengajian Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana (Masters) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dimana Program MBBS mula ditawarkan sejak tahun 2010 dan berjaya melahirkan lebih 143 graduan dalam bidang perubatan, yang kini sedang berkhidmat di hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Menerusi pendedahan kepada nilai-nilai yang terkandung di dalam silibus Kursus Wajib Universiti serta penglibatan dalam pelbagai aktiviti di bawah kelolaan Pusat Hal Ehwal Pelajar yang berteraskan Islam, graduan program MBBS mampu untuk memupuk dan membina sifat holistik dan seterusnya membentuk keperibadian yang unggul dari akhlak dan keilmuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Yayasan Terengganu dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah merangkap Ahli Lembaga Pengarah UniSHAMS, Dato’ Seri Norizan Khalzali; Penasihat Undang-undang Negeri Terengganu, Dato’ Razali Che Ani; Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato’ Nara Setia Dato’ Zulkifli Ali; Pegawai Kewangan Negeri Kedah merangkap Ahli Lembaga Pengarah UniSHAMS, Dato’ Syed Khairol Anuar Syed Abidin, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Kedah, Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu, Satiful Bahari Mamat.

Sumber : Warta Kedah