KESEDARAN PENJAGAAN ALAM SEKITAR PERLU DIFAHAMI OLEH SEMUA LAPISAN MASYARAKAT

KUALA MUDA (02 JUN 2024) – Program Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 di Dataran Tsunami, Kuala Muda diadakan bagi memulakan satu usaha bersungguh-sungguh bagi pihak Kerajaan Negeri dan Jabatan Alam Sekitar dalam memastikan alam sekitar selamat untuk didiami dan diwarisi akan datang dengan slogan “Kedah Sejahtera, Lestari Bersama”.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata pada Oktober nanti akan diadakan sambutan ini di Peringkat Kebangsaan iaitu Hari Alam Sekitar Negara 2024 di Langkawi dimana negeri Kedah dipilih sebagai tuan rumah penganjuran program tersebut.

“Program hari ini dianjurkan adalah untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat bahawa pentingnya memelihara alam sekitar agar tidak tercemar melalui pembuangan sampah dan pembuangan minyak yang tidak terkawal dimana hari ini kita mempunyai syarikat yang menerima minyak terpakai untuk digunakan semula menjadi minyak diesel.

“Usaha-usaha sebegini sangatlah diberi galakan oleh pihak Kerajaan Negeri supaya sumber kita ini diguna pakai semula berulang kali dan usaha ini dapat lebih menjamin pemuliharaan alam sekitar daripada pencemaran.

“Saya lihat banyak agensi dan jabatan yang memberi kerjasama yang baik bagi memelihara alam sekitar terutamanya Pejabat Exco dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah. Saya mengharapkan usaha kecil kita ini turut dilakukan oleh orang ramai untuk menimbulkan kefahaman dan kesedaran bahawa kita perlu kepada alam sekitar yang lebih selamat untuk didiami dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sempena program Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 di Dataran Tsunami, Kg Kepala Jalan Kota Kuala Muda di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria; ADUN Pantai Merdeka, Sharir Long; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Malaysia, Dato’ Wan Abdul Latiff Wan Jaffar; Yang Dipertua MPSPK, Dato’ Muhamad Arof Darus dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab.

Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata untuk menjaga alam sekitar pihak Kerajaan Negeri memberi komitmen sepenuhnya dimana ada kawasan-kawasan hutan yang telah diluluskan sebelum ini dan jika ianya menjejaskan alam sekitar kita membincangkan agar diubah ke kawasan lain yang kurang sensitif kepada alam sekitar.

“Pada masa dulu pertimbangan-pertimbangan ini tidak dititikberatkan, jadi pada masa ini kita perlu melihat kawasan-kawasan yang sensitif untuk diubah ke tempat yang lain melalui perbincangan tersebut.

“Jika ada kawasan yang diluluskan menimbulkan isu alam sekitar seperti pencemaran serta mendatangkan kacau ganggu sumber air dan kehidupan, perlu ganti tempat lain yang kurang sensitif,” ujarnya.

Sumber : Warta Kedah