TMK 2025 BAKAL DILANCARKAN PADA JULAI INI

KUALA MUDA (05 JUN 2024) – Kerajaan Negeri Kedah merancang akan mengadakan program pelancaran Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025) pada bulan Julai akan datang bagi merancakkan promosi program tersebut kepada pelancong-pelancong dalam dan luar negara menjelang tahun 2025 nanti.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata TMK 2025 yang telah dirancangkan sejak tahun 2023 itu telah masuk ke fasa promosi yang sepatutnya dilancarkan pada bulan Jun 2024 terpaksa ditangguhkan ke bulan Julai memandangkan pada bulan Jun ini terdapat banyak program melibatkan majlis menyambut Keputeraan Tuanku Sultan Kedah.

“Mesyuarat Exco pada hari ini telah memutuskan akan mengadakan pelancaran TMK 2025 dan persembahan oleh pihak perunding yang dilantik untuk merangka konsep dan pengisian TMK 2025 sangat menarik untuk dilaksanakan.

“Kita tidak meletakkan ‘time frame 2025’ secara spesifik ataupun terbuka kerana mahu selepas daripada pelancaran itu sepanjang masa Kedah menjadi destinasi utama pelancongan kerana sektor pelancongan ini penting yang merupakan salah satu daripada ‘piller’ ataupun tiang dalam perkembangan ekonomi. Melalui pelancongan itulah datangnya sektor F&B, perhotelan, logistik, pengangkutan dan lain-lain dan terdapat banyak sektor bergantung dan terkesan berkenaan sektor pelancongan.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri sangat memberi perhatian yang lebih kepada sektor ini untuk menjadi nadi kepada ekonomi negeri kerana kita mempunyai banyak tempat-tempat yang menarik untuk dirasai pengalaman itu oleh para pelancong.

“Selain itu, kerajaan juga tidak mensasarkan hanya pelancong domestik sahaja, perhatian lebih kepada pelancong luar negara. Data menunjukkan walaupun kemasukan begitu ramai pelancong China dalam tempoh tertentu pada waktu lepas tetapi pelancong China ini bukan pelancong yang berbelanja berbanding pelancong Arab.

“Jadi, fokus kita ialah pelancong dari negara-negara Arab. Kita mempunyai persembahan, kempen, iklan sekarang ini lebih tersasar. Kita mahu tumpuan kepada pelancong yang suka berbelanja dan berkeupayaan berbelanja barulah ekonomi akan berkembang daripada sektor pelancongan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Mohd Azam Abd Samat; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Ashah Ghazali; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan Dan Pengangkutan Negeri, Dzowahir Abd Ghani dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air Dan Alam Sekitar Negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria.

Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata kempen Tahun Melawat Kedah 2025 adalah sesuatu yang sangat berlainan dan sangat berkualiti dalam usaha-usaha untuk mempromosikan Kedah sebagai destinasi untuk pelancong domestik dan international.

“Saya nak pelancong yang datang melawat Kedah pada tahun hadapan mendapat keistimewaan dan pengalaman yang indah. Banyak tempat yang boleh mereka lawati namun pintu masuk utama masih lagi berada di Langkawi dan akan dibawa masuk ke Tanah Besar secara berperingkat.

“Ada dua perancangan yang akan dilaksanakan, satu pra-pelancaran pada bulan Jun dan Pelancaran TMK-2025 bulan Disember. Namun terpaksa diadakan kedua-dua program ini serentak pada bulan Julai agar dapat menjimatkan kos.

“Saya jamin persembahan atau pun kempen tahun TMK 2025 adalah satu yang sangat berlainan dan sangat berkualiti dalam usaha-usaha untuk mempromosikan Kedah sebagai destinasi untuk pelancong domestik dan international seperti yang dipersembahkan dalam mesyuarat tadi. Bagi melihat keberkesanannya, kita kena tunggu pertengahan bulan Julai nanti,” ujarnya.

Sumber : Warta Kedah