SEMUA PREMIS PKNK AKAN MENGGUNAKAN SISTEM “CASHLESS” PENGHUJUNG TAHUN INI

ALOR SETAR (10 JUN 2024) – Pelaksanaan Kempen Kedah Cashless pada tahun 2023 telah membantu mempercepatkan proses digitalisasi negeri Kedah dengan peningkatan 80 peratus ke atas kadar penembusan pembayaran digital selepas Selangor dan Pulau Pinang. Penggunaan bayaran tanpa tunai telah menjadi trend dan pilihan utama kini. Justeru, penganjuran kempen ini sangat bertepatan dan merupakan satu pendekatan mesra dan wajar bagi memberikan pendedahan dan mendidik usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di semua premis perniagaan PKNK mengenai pembayaran tanpa tunai (cashless).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Mohd Azam Abd Samat berkata usaha mendidik dan memupuk penggunaan bayaran secara tanpa tunai di Malaysia bukanlah perkara baharu. Ini jelas terbukti apabila transaksi tanpa tunai berkembang dengan ketara di negeri Kedah, berbanding negeri-negeri lain.

“Kita di Kedah sendiri telah pun melaksanakan program-program inisiatif tanpa tunai untuk kutipan hasil dengan iBayaq. Malah, pelaksanaan kempen Kedah Cashless di peringkat negeri telah mencapai prestasi lebih 80 peratus dan pembayaran tanpa tunai melibatkan hampir semua jabatan dan agensi negeri.

“Kerajaan Negeri komited untuk terus menggalakkan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan penduduk di negeri ini, sekaligus mewujudkan masyarakat celik digital dalam peluasan penggunaan transaksi tanpa tunai. Justeru, saya berharap penganjuran diperingkat PKNK yang akan berlangsung selama tempoh tujuh bulan bermula bulan Jun hingga Disember 2024 dapat mencapai sasaran 1000 usahawan melaksanakan PKNK Cashless di semua premis perniagaan PKNK.

“Saya difahamkan UTC Sungai Petani di bawah pengurusan PKNK akan menjadi UTC pertama di Malaysia yang melaksanakan Cashless sepenuhnya dalam melakukan transaksi tanpa tunai. Kesemua aktiviti dan kempen yang dijalankan ini bagi menggalakkan penglibatan semua Usahawan Perniagaan PKNK supaya mereka dapat mengamalkan gaya hidup digital yang mudah dan cepat secara tanpa tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Pelancaran PKNK Cashless, ‘Lagi Senang’ dan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) Dengan Payment Networks Malaysia Sdn Bhd (PAYNET) di Dewan Ukir Mall di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Dato’ Wira Isahak Murat; Ketua Pegawai Operasi PKNK, Anita Salleh; Ketua Pegawai Korporat PKNK, Maheran Manan; Ketua Pegawai Pentadbiran PKNK, Mohd Shahrizal Yusof; Pengarah Kanan Bahagian Pendigital Kerajaan PAYNET, Firdaus Ghani dan Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Pejabat SUK Kedah, Balkhis Abu Bakar.

Terdahulu Isahak dalam ucapan aluannya berkata terdapat lebih dari 800 premis perniagaan milik PKNK di seluruh Kedah akan melaksanakan pembayaran tanpa tunai ‘PKNK Cashless’. Hal ini akan membantu merancakan perniagaan dan bayaran tanpa tunai yang akan dilaksanakan kelak.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PAYNET atas tajaan bagi aktiviti dan inisiatif pemerkasaan pendigitalan melalui kempen PKNK Cashless, Lagi Senang di Dewan Ukirmall pada pagi ini. Bermula hari ini, kesemua jenis penerimaan bayaran di PKNK akan diwajibkan pemakaiannya bagi bayaran tanpa tunai. Pembayaran boleh dibuat menerusi JomPay e-Banking, Bayarnow melalui laman web dan pembayaran menggunakan DuitNow QR PAY.

“Dalam program Pendigitalan PKNK itu, kita bukan saja tertumpu kepada operasi di pejabat sahaja, tetapi PKNK menguruskan lebih 800 premis termasuk kedai, bangunan, kilang, gudang dan gerai-gerai kecil yang disewakan. Kesemua premis perniagaan milik PKNK ini akan menggunakan aplikasi tanpa tunai ini secara berperingkat sebelum berakhirnya tahun 2024 ini,” ujarnya.

Sumber : Warta Kedah