
RAJA MUDA KEDAH KURNIA AGIHAN FIDYAH KEPADA 320 FAKIR MISKIN

ALOR SETAR (05.02.2026) – Majlis Pengurniaan Agihan Fidyah merupakan program tahunan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) yang bertujuan menzahirkan pelaksanaan agihan fidyah sebagai satu amanah dan tanggungjawab menurut hukum syarak.
Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) berkata agihan fidyah ini diberikan kepada golongan fakir miskin dalam bentuk wang tunai dan juga barangan keperluan.
“Kita perlulah menjaga kebajikan golongan ini di samping menyemai sifat tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
”Kutipan pada tahun ini bernilai RM4.2 juta dan sehingga hari ini MAIK telah membelanjakan sehingga RM3.7 juta. Bantuan ini diberikan dalam bentuk wang tunai kepada lebih 8,000 orang penerima bernilai RM300 seorang.
“Terdapat juga bantuan makanan pelajar Sekolah Agama Rakyat dan Program Bantuan Mahasiswa UUM, UniSHAMS serta UiTM Merbok selain inisiatif baharu yang diketengahkan iaitu bantuan kepada pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) dan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB).
“Pada majlis hari ini, MAIK membelanjakan RM128,00.00 untuk diagihkan kepada 320 penerima berupa wang tunai, barang keperluan dan dua buah motosikal OKU,” katanya.

Tuanku berkata demikian kepada media sempena Majlis Pengurniaan Agihan Fidyah Majlis Agama Islam Negeri Kedah Tahun 2026 di Puteri Palmera Glass Hall, Langgar di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr. Syeikh Fadzil Awang; Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abd Rahman Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Mohd Azam Abd Samat dan ADUN Bukit Pinang, Dato’ Romani Wan Salin dan Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Dato’ Dr. Abd. Ghani @ Zulkifli Zainuddin.
Dalam ucapan aluan majlis, Abd. Ghani berkata kadar fidyah atau kafarah adalah mengikut nilai satu per empat daripada kadar zakat fitrah yang ditetapkan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan tambahan caj perkhidmatan sebanyak lima belas peratus. Bagi tahun 1447 Hijrah kadar fidyah adalah RM2.00 bagi beras tempatan dan RM4.00 bagi beras import.
“Perolehan kutipan fidyah akan dikumpulkan dalam satu akaun khas dan diagihkan kepada golongan yang berhak menerimanya seperti di majlis yang kita adakan pada hari ini.
“Bagi tahun 1447 Hijrah, MAIK telah melaksanakan agihan secara tunai kepada 8,820 orang fakir miskin melalui 588 buah masjid di Negeri Kedah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1,764,000.00,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed