
PROGRAM PEMENTORAN PEJABAT SUK BERJAYA LAHIRKAN PEGAWAI TERLATIH, BERKEMAHIRAN DAN BERETIKA

ALOR SETAR (09.02.2026) – Seramai 56 orang peserta Mentor dan Menti telah terlibat di dalam Program Pementoran pada tahun 2025, melibatkan penjawat awam daripada pelbagai jabatan dan agensi daripada seluruh negeri Kedah yang telah berlangsung selama enam (6) bulan bermula pada bulan Jun hingga November 2025.
Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Sharhida Nazuha Saad berkata Program Pementoran melibatkan proses perkongsian kepakaran dan kemahiran secara berstruktur di antara pegawai yang lebih berpengalaman dengan pegawai yang ingin meningkatkan kompetensi dalam dunia kerjaya masing-masing.
“Pementoran merupakan satu pendekatan untuk memberi bimbingan, sokongan dan bantuan secara profesional oleh mentor (pegawai yang terlatih, berkemahiran dan beretika) bagi pembangunan diri menti. Pendekatan ini melibatkan aktiviti perhubungan, pemindahan kemahiran peribadi (taxic knowledge) dan profesional seorang pegawai dalam jangka masa yang telah ditetapkan.
“Perkara ini berkait rapat dengan proses perkembangan diri iaitu proses belajar antara mentor dan menti. Kedua-duanya terhasil melalui pengalaman dalam perhubungan. Justeru, melalui pementoran pekerja dapat membina perhubungan positif melalui pertemuan, perbualan dan proses pembelajaran yang mampu membentuk dan mencapai matlamat, membuat keputusan dan menyelesaikan sesuatu masalah.
“Tahniah saya ucapkan kepada semua mentor dan menti, peserta Program Pementoran dan urusetia program yang telah memberikan komitmen dan kerjasama padu dalam menjayakan program ini dari awal sehingga akhir program,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Apresiasi Program Pementoran (Mentoring & Coaching) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah di Ballroom 1, Hotel Raia & Convention Centre di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Penolong Setiausaha (Perkhidmatan) BPSM, Tarmizi Saad; Pegawai Psikologi BPSM, Mohd Hanizam Mansor; Pegawai Tadbir SPPNK, Mohd Azim Zainal dan Pegawai Tadbir Latihan BPSM, Zahanim Mohd Dzahir.
Dalam perkembangan sama, Sharhida berharap agar semua peserta program pementoran akan dapat mengimplimentasikan ‘5M’ dalam peningkatan kemajuan kerjaya dan juga kehidupan seharian, iaitu membimbing pegawai dalam peningkatan prestasi kerjaya dan psikososial (high performance), meningkatkan kemahiran dalam aspek professional dan sosial (budaya kerja kelas pertama), membina keperibadian tinggi di kalangan warga organisasi (akhlak dan personaliti unggul), menerapkan amalan pembelajaran berterusan sepanjang hayat (lifelong learning) dan meningkatkan imej dan reputasi pegawai serta organisasi (kredibiliti).
“Saya berharap para mentor-mentor akan terus memberi komitmen mambantu jabatan-jabatan yang diwakili, bukan sahaja membantu menti-menti sahaja. Manakala menti-menti pula yang telah belajar tentang kemahiran perkhidmatan juga perlu membantu menambahbaik nama jabatan masing-masing.
“Kunci kepada kebahagian pekerjaan kita di pejabat, elakkanlah perselisihan faham di antara kakitangan, janganlah sampai tidak bertegur sapa mengambil masa bertahun lamanya. Ini adalah satu pembaziran masa dan tidak ada keperluan pun sehingga merugikan ruang perkhidmatan terbaik dan menjadi masalah kepada jabatan,” ujarnya.
Sementara itu, pasangan mentor Nurul Syahida Johari dan mentinya Wan Mohamad Aliff Khairee dari Majlis Perbandaran Kubang Pasu telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Mentor Menti Terbaik Tahun 2025. Manakala pasangan mentor Hazimin Mat dan mentinya Mohd Hafiz Mohd Nazri dari Majlis Perbandaran Langkawi telah dipilih memenangi Anugerah Komitmen Terbaik Program Pementoran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah bagi tahun 2025.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed