
RAKYAT KEDAH BANJIRI DATARAN ZERO SEMPENA SAMBUTAN TMK 2025
SUNGAI PETANI (31 Disember 2024) – Negeri Kedah telah bersedia dalam menyambut pelawat dan pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025) yang bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih pesat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata pada Ogos 2024 lalu kita telah melancarkan TMK 2025 di Menara Kuala Lumpur dan detik ketibaan Tahun 2025 ini kita memilih Sungai Petani sebagai tempat untuk kita meluahkan hasrat dan tekad dalam merealisasikan realiti sambutan TMK 2025 ini.
“Sungai Petani dipilih sebagai tuan rumah untuk sambutan TMK 2025 memandangkan selain dengan kepadatan penduduknya, ianya merupakan tempat yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan kaya dengan produk-produk pelancongan.
“Selain itu, promosi pelancongan untuk TMK 2025 juga secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi setempat dan Kerajaan Negeri akan terus mempromosikan daerah-daerah yang lain dengan tujuan yang sama dengan program yang telah disusun untuk tahun 2025.
“Apabila Kerajaan Negeri melancarkan TMK 2025, matlamat kita bukan sekadar sektor pelancongan sahaja tetapi juga menjadi hasrat kita meletakkan kepada tanda aras yang baru bagi menggilap sektor pelancongan dan produk-produk tempatan dalam menyambut pelancong dan pelawat sepanjang tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Tahun Melawat Kedah 2025 di Dataran Zero, Sungai Petani di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; Pegawai Daerah Kuala Muda, Dato’ Abdul Gafar Yahya; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani, YM Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah dan Pengurus Besar Tourism Kedah, Azlizam Jaafar Siddik.
Dalam perkembangan sama, Salleh berkata peranan seluruh penduduk dan rakyat Kedah khususnya amatlah diperlukan bagi menjayakan hasrat ini.
“Marilah kita bersedia untuk menyambut tetamu kita dengan memanfaatkan serta mempromosikan kelebihan dan keunikan negeri Kedah mencangkupi seni budaya, alam semula jadi dengan keramahan dan kemesraan.
“Kita berharap agar pelancong yang hadir di Kedah ini dapat memperolehi pengalaman yang indah selari dengan ‘Experience Kedah’ yang merupakan tema untuk TMK 2025,” ujarnya.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed