
PESTA AYAQ BANDAR BAHARU PEMANGKIN KEPADA MEMPROMOSIKAN PELANCONGAN DAERAH
BANDAR BAHARU (23 Februari 2025) – Pesta Ayaq Bandar Baharu 2025 menutup tirainya dengan penuh meriah di Dataran Bandar Baharu, Kedah Darul Aman malam ini dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat dan pemimpin tempatan.
Pegawai Daerah Bandar Baharu, Mohd Noor Ismail berkata bahawa penganjuran Pesta Ayaq Bandar Baharu ini bukan sahaja menjadi landasan untuk mempromosikan pelancongan daerah, malah berperanan penting dalam memajukan ekonomi setempat.
“Pesta ini menjadi langkah awal ke arah pembangunan lebih maju pada masa hadapan. Ia bukan sahaja menggalakkan sektor pelancongan tetapi juga meningkatkan kerjasama antara masyarakat, NGO dan persatuan sekali gus memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti.
“Selain itu, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai aktiviti air seperti memancing, berkayak serta pertandingan bot berhias yang dijangka menjadi daya tarikan utama sepanjang pesta berlangsung.
“Penganjuran pesta ini diharapkan dapat menjadi acara tahunan yang berterusan dalam mengangkat Bandar Baharu sebagai destinasi pelancongan utama di negeri Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Pesta Ayaq Bandar Baharu 2025 di Dataran Bandar Baharu di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Roslan Hashim; Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu, Ts. Dr. Suffian Mohd Yusuf, Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan, Khairulnizam Hashim dan Pegawai Daerah Kerian, Saidi Shaari.
Dalam perkembangan sama, Mohd Noor berkata pesta yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Daerah Bandar Baharu dan EGL Event ini bertujuan untuk merancakkan ekonomi tempatan serta menjadi medium promosi pelancongan bagi daerah ini. Penganjuran pesta ini juga selari dengan usaha memperkenalkan Tahun Melawat Kedah 2025 yang bertemakan “Experience Kedah” kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan acara ini, termasuk Tourism Kedah, Ahli-Ahli Majlis Bandar Baharu serta Puspanita Cawangan Kecil Bandar Baharu yang banyak menyumbang dalam penganjuran Pesta Ayaq Bandar Baharu 2025,” ujarnya.
Majlis perasmian dimeriahkan dengan pelbagai persembahan menarik termasuk seni silat Gayung Malaysia, persembahan kesenian dan kebudayaan serta persembahan artis jemputan selain diserikan dengan gimik perasmian, cabutan bertuah dan perarakan bot berhias yang menjadi antara tarikan utama pesta ini.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed