
PROGRAM AKRAB MAMPU TINGKATKAN KUALITI PERKHIDMATAN AWAM
ALOR SETAR (24 Februari 2025) – Seramai 25 orang peserta telah terlibat untuk program Pra AKRAB (Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, melibatkan pelbagai bahagian jabatan dan agensi daripada seluruh Kedah dalam Program Pementoran (Mentoring & Coaching). Program ini telah berjalan selama enam bulan bermula pada bulan Jun hingga November 2024. Penyertaan dalam program ini merupakan pencalonan daripada ketua jabatan masing-masing berdasarkan kriteria-kriteria tertentu yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Peserta yang terpilih telah lulus peperiksaan AKRAB dan juga telah selesai menjalankan program CSR AKRAB sebagai syarat yang telah ditetapkan oleh pihak JPA untuk pentauliahan.
Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Sharhida Nazuha Saad berkata Program Pementoran melibatkan proses perkongsian kepakaran dan kemahiran secara berstruktur di antara pegawai yang lebih berpengalaman dengan pegawai yang ingin meningkatkan kompetensi dalam dunia kerjaya masing-masing.
“Untuk makluman semua, Mesyuarat Panel Pembangunan Sumber Manusia yang telah dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah pada 4 Jun 2024 telah bersetuju untuk Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) melaksanakan Program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) tahun 2024.
“AKRAB merupakan nama khusus bagi rakan sekerja yang dilantik sebagai Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam dan ejen penggerak kepada pelaksanaan budaya kerja berprestasi tinggi dalam perkhidmatan awam, sepertimana yang terkandung dalam Pekeliling Perkhidmataan Bilangan 18 tahun 2005, Panduan Aplikasi Psikologi Dalam Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam.
“Justeru itu, AKRAB merupakan pegawai yang dilantik bagi menjalankan peranan digariskan dalam Program Pengupayaan Kendiri yang merupakan satu kaedah dalam pengurusan sumber manusia bagi mempertingkatkan diri pegawai. Program ini merangkumi aspek penilaian, pembangunan, khidmat bimbingan, khidmat nasihat, sokongan dan penambahbaikan kepada pegawai itu sendiri.
“Program AKRAB adalah berkonsepkan rakan membantu rakan dan membangunkan potensi yang ada pada diri masing-masing. Pelaksanaan Program AKRAB ini telah lama dijalankan di pelbagai kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan. Kemantapan AKRAB banyak bergantung kepada komitmen dan sumbangan daripada ahli-ahlinya. Justeru, pembentukan AKRAB di dalam organisasi diharap dapat memupuk kelompok pekerja yang mempunyai komitmen dan rasa sayang yang tinggi terhadap organisasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya Sempena Majlis Apresiasi Pementoran Dan Pentauliahan AKRAB Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Tahun 2024 di Enchanted Wedding Hall, Star Parade di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Penolong Setiausaha (Perkhidmatan) Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Tarmizi Saad; Pegawai Psikologi BPSM, Mohd Hanizam Mansor; Penolong Setiausaha Kerajaan (Pembangunan Organisasi), Noorhayati Md Soberi dan Pegawai Tadbir Seksyen Pembiayaan Pendidikan Negeri Kedah (SPPNK), Muhammad Azim Zainal.
Dalam perkembangan sama, Sharhida berkata AKRAB diwujudkan bagi menyediakan medium perantaraan antara rakan sekerja dengan pihak pengurusan sesebuah jabatan, agar pegawai dapat berkongsi idea, tempat meluahkan perasaan, memupuk semangat berpasukan dan mendapatkan bimbingan sokongan daripada ahli-ahli AKRAB.
“Saya tertarik dengan pepatah Arab. “Ilmu tanpa amal adalah umpama pohon tak berbuah”. Mudah-mudahan kita sentiasa dikurniakan ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, amalan yang diterima serta diberikan kekuatan untuk mengamalkan setiap ilmu yang telah dipelajari hingga akhir hayat kita.
Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada tuan-puan semua yang telah memberikan komitmen tinggi dalam menjayakan program Pementoran (Mentoring & Coaching) dan juga Program AKRAB Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah. Selamat maju jaya saya ucapkan kepada tuan-puan semua,” ujarnya.
Sementara itu, dua pasangan Mentor dan Menti telah dianugerahkan Mentor dan Menti terbaik tahun 2024. Pasangan pertama dimenangi oleh Mentor Mohamad Nasrul Khair Mohd Nasri dan pasangan Mentinya, Mohd Syukri Azimat dari Bahagian Perumahan Pejabat SUK Kedah manakala pasangan kedua Mentor Faizah Othman dan Mentinya Md Aziz Elias dari Majlis Perbandaran Sungai Petani. Bagi kategori Anugerah Komitmen Terbaik Mentor Menti disandang oleh Mentor Azlina Azizan bersama Mentinya Muhammad Al-Amin Hamzah dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed