
PTG SERAGAMKAN SEMULA SEMUA PERKARA BERKAITAN TANAH DI NEGERI KEDAH
PULAU PINANG (23 Februari 2025) – Bengkel Pemurnian Dasar Pelupusan Negeri Kedah yang dianjurkan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kedah hari ini mencapai kata sepakat dalam meluluskan serta penyeragaman semula hal-hal berkaitan tanah di negeri Kedah.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali berkata dalam bengkel ini pelupusan merupakan satu unit yang penting dalam meluluskan tanah untuk menjadi aset kekal kepada orang ramai.
“Saya sedia maklum bengkel ini dilaksanakan adalah untuk kita seragamkan 12 daerah di negeri Kedah yang mempunyai cara dan kaedah masing-masing dalam pengurusan tanah dan ianya perlu diseragamkan meliputi perubahan dasar secara bersama dan dapat disegerakan bersama.
“Isu tanah ini sudah lama berlaku bukan sahaja di Kedah malah di seluruh negara dimana kita perlu seragamkan dengan perubahan dasar agar kita dapat segerakan proses tanah yang tertunda sekian lama.
“Saya faham bahawa pentadbir tanah sering berdepan dengan pelbagai karenah orang ramai berkenaan isu tanah ini dan apa yang dibentangkan sebentar tadi, saya percaya bahawa pentadbir tanah di Kedah telah berusaha dalam memastikan pemasalahan yang berlaku dapat diseragamkan dengan baik dan cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Bengkel Pemurnian Dasar Pelupusan Negeri Kedah di Bayview Batu Feringgi, Pulau Pinang di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah, Dato’ Muhamad. Arof Darus dan Timbalan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah (Pembangunan), Amirah Khairiah Abdul Latip.
Dalam perkembangan sama, Norizan berkata pihak pentadbir tanah juga harus memeriksa pemohon yang memohon tanah ini bukanlah dikalangan orang kaya atau pemohon itu sudah memiliki tanah agar tanah milik kerajaan tidak terlepas ditangan mereka.
“Jika pemohon itu membuat permohonan tanah bagi tujuan yang boleh memberi pulangan positif kepada Kerajaan Negeri ianya boleh dipertimbangkan agar kedua-dua pihak mendapat persetujuan bersama.
“Kerajaan Negeri menitikberatkan pemberian tanah kepada orang miskin yang memerlukan tanah untuk didirikan kediaman mereka atau yang telah lama mendirikan rumah mereka di tanah milik kerajaan dan kita akan membuat proses lebih baik dalam membantu proses pemilikan tanah kepada mereka secepat mungkin yang dianggap bersesuaian dengan tanah tersebut,” ujarnya.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed