
PERSEFAHAMAN AGAMA DAN BUDAYA DAPAT MELETAKKAN NEGERI KE ARAH LEBIH MAJU DAN HARMONI
ALOR SETAR (10 Mei 2025) – Hari Wesak merupakan hari terpenting diraikan penganut agama Buddha memperingati hidup pengasas ajaran mereka iaitu Siddharta Gautama Buddha dalam peringkat-peringkat penting beliau iaitu kelahirannya di Lumbini, pencapaian kecerahan agung selepas sekian lama bertapa dan kemangkatannya di Kusinara. Perayaan ini disambut luas serata Asia Selatan, Tenggara dan Timur antara bulan April hingga Jun, tetapi khususnya pada bulan Mei.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India & Siam dan NGO Negeri, Wong Chia Zhen berkata sambutan ini merupakan satu detik bermakna bukan hanya kerana ianya julung kali diadakan secara rasmi oleh Kerajaan Negeri Kedah bersama komuniti Buddha, tetapi kerana ia mencerminkan semangat kebersamaan yang kita bina bersama.
“Kerjasama erat dengan Kedah Buddhist Association membuktikan betapa pentingnya persefahaman antara agama dan budaya dalam memajukan negeri kita. Perlu kita ingat, Kedah merupakan salah satu negeri terawal di Malaysia yang mengisytiharkan Hari Wesak sebagai hari cuti umum.
“Sejak tahun 1949, hasil usaha gigih para pemimpin terdahulu, empat buah negeri di Malaya pada ketika itu iaitu Pulau Pinang, Melaka, Kedah dan Perak telah mengumumkan Hari Wesak sebagai cuti umum bagi meraikan perayaan penting penganut agama Buddha. Sejarah ini menjadi bukti kepada nilai hormat dan pengiktirafan negeri terhadap kepelbagaian agama dan budaya sejak sekian lama.
“Hari Wesak memperingati kelahiran, pencerahan dan kewafatan Siddhartha Gautama Buddha. Ia adalah hari renungan, kasih sayang dan pemupukan nilai-nilai sejagat seperti belas ihsan dan keamanan. Dalam konteks masyarakat majmuk kita, ia menjadi platform untuk memperkukuh keharmonian, saling hormat dan persefahaman antara kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Hari Wesak Peringkat Negeri Kedah 2025 di Persatuan Buddhist Kedah, Jalan Gangsa di sini, hari ini.
Hadir sama ADUN Derga, Muhammad Amri Wahab; Pengerusi Persatuan Buddhist Kedah, Chee Nai Koon; Wakil Persatuan Buddhist Malaysia Cawangan Kedah, Venerable Phrakru Viriyak Phathanakit; Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Negeri Kedah, Datuk Cheng Lai Hock; Wakil Pegawai Daerah Kota Setar; Rahmat Asyraf Dato’ Bokhari dan Wakil Datuk Bandar Alor Setar, Chuah Chong Yong.
Dalam perkembangan sama, Wong berkata sebagaimana yang sering ditekankan dalam titah ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah baru-baru ini, Islam adalah agama rasmi negeri ini selaras dengan Undang-Undang Tubuh Negeri dan Perlembagaan Persekutuan.
“Namun, kebebasan menganut dan mengamalkan agama lain tetap dijunjung dengan aman dan harmoni. Titah ini perlu kita hayati bukan hanya sebagai prinsip perundangan, tetapi sebagai asas hubungan sesama insan dalam negeri yang kita cintai ini.
“Kerajaan Negeri yakin bahawa hanya melalui pengiktirafan terhadap kepelbagaian inilah, keharmonian sosial dapat dikekalkan dan asas pentadbiran yang adil dapat diperkukuhkan. Inilah semangat yang kami bawa melalui slogan Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua di mana setiap komuniti, tanpa mengira latar agama atau budaya, diberikan tempat dan perhatian yang sewajarnya,” ujarnya.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed