
KEDAH SERIUS DALAM MENGENALPASTI ATLET MUDA DALAM SUKAN E-SPORT
ALOR SETAR (02 Jun 2025) – Kerajaan Negeri Kedah di bawah portfolio Jawatankuasa Belia & Sukan Negeri Kedah dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Kedah, Sekretariat Belia Sejahtera Negeri Kedah, AIX Esports dan Titi Merah Sdn. Bhd. telah berjaya menganjurkan Kejohanan Kedah E-Sport Challenge 2.0 2025 Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon pada hari ini.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata saya berasa seronok dan berbangga apabila dimaklumkan bahawa penyertaan yang diterima untuk Kejohanan E-Sport Challenge bagi edisi yang kedua mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Seramai 1,119 peserta telah mendaftar bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai RM10,000.
”E-Sport ini tidak ada pada zaman saya dan mereka yang sebaya dengan saya dahulu.
Perkembangan teknologi telah mengubah suasana seiring dengan perkembangan semasa. Anak-anak zaman sekarang, termasuk yang tinggal di kampung-kampung sudah tak kenal apa itu ‘terebey’ burung, apa yang menjadi ‘permainan’ budak- budak kampung zaman dahulu. Kepada ibu bapa, walaupun ini mungkin bukan permainan kita tetapi janganlah kita sekat minat dan bakat anak-anak yang bersesuaian dengan suasana pada zaman mereka.
”Apa yang baik kita kena beri galakkan untuk mereka terus berkembang. Pada masa yang sama, kita asuh dan bimbing mereka untuk jangan lupa pada disiplin agama dan nilai-nilai moral bagi memastikan mereka tidak hanyut dalam keasyikan.
”Kita tidak boleh nafikan bahawa bermain permainan seperti ini atau permainan apa pun boleh mengasyikkan hingga lupa makan minum dan sebagainya. Jadi saya nak ambil kesempatan di sini untuk berpesan kepada adik-adik sekalian, jika bermain, mainlah tetapi jangan sampai terleka, jangan sampai tak solat, jangan sampai jadi biadab kepada ibu bapa yang mengingatkan adik-adik untuk berpada-pada. Apa perkara pun, kalau kita terlalu asyik, ianya akan merosakkan kesihatan mental dan fizikal, rosak akhlak, rosak agama dan rosak masa hadapan, dunia dan akhirat jadi berpada-padalah.
”Dalam membina jati diri seorang belia yang baik, Prof. Abdullah Nasih al-Ulwan mengingatkan, seseorang itu mestilah mempunyai iman yang mantap (rasikh), mempunyai hati yang ikhlas dan tidak sekali-kali berpura-pura dalam apa jua keadaan, keazaman yang kuat, tidak takut pada sebarang bentuk cabaran atau rintangan, amalan baik yang berterusan dan akhir sekali, mempunyai kesanggupan yang tinggi untuk berkorban.
“Saya harap, apa yang dipesan ini akan menjadi pencetus semangat buat adik-adik dan anak-anak semua untuk mendewasakan diri dengan baik, sempurna dari segi iman, akhlak dan sebagainya.
Negeri kita yang kita cintai ini memerlukan generasi muda untuk meneruskan perjuangan dan usaha kita merealisasikan gagasan ‘The Greater Kedah’ pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Perasmian Kejohanan Kedah E-Sport Challenge 2.0 2025 Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup dan Belia & Sukan Negeri, Muhammad Radhi Mat Din; ADUN Gurun, Baddrol Bakhtiar; ADUN Derga, Muhammad Amri Wahab dan Penolong Pengarah BPEN, Muhammad Afiq Faiz Mohd Ridzam Effendy.
Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata bahawa kejohanan yang dilaksanakan pada hari ini bukan sahaja bertujuan untuk meraikan golongan belia malah turut untuk mengenalpasti pelapis-pelapis atlet muda dalam sukan E-Sport untuk kita gilap bakat mereka bagi mewakili Negeri Kedah.
Seiring dengan perkembangan sukan ini dalam masyarakat, Kerajaan Negeri menjadikan kejohanan ini sebagai platform untuk mempromosikan sukan elektronik (E-Sport) sebagai aktiviti berimpak tinggi dalam kalangan belia, selaras dengan dasar digital negara dan pembangunan sukan moden.
“Kita yakin Kedah mempunyai ramai bakat dalam E-Sport untuk diketengahkan bagi mewakili Negeri dalam Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA). Pada edisi SUKMA yang lepas, pasukan E-sport Kedah berjaya mendapat 1 pingat Emas dalam acara e-football konsol dan atlet ini juga telah mewakili Malaysia ke kejohanan FIFAe World Cup 2024 FT eFootball di Riyadh, Arab Saudi pada Disember 2024 lalu.
“Selain itu, pelaksanaan program seumpama ini adalah bersempena dengan Tahun Melawat Kedah 2025, yang mana mereka yang terlibat dengan sukan ini sama ada secara langsung mahupun tidak langsung termasuk dari luar Negeri Kedah, akan datang ke sini bersempena Kejohanan E-sport Peringkat Negeri Kedah tahun 2025 ini,” ujarnya.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed