
DATF 2025 DAPAT MEMPROMOSIKAN PELBAGAI PRODUK TEMPATAN BERASASKAN DURIAN
BANDAR BAHARU (29 Jun 2025) – Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamed Ariff berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Durian Agro Tourism Fest (DATF) Bandar Baharu 2025 yang berlangsung di Daerah Bandar Baharu di sini, hari ini.
Pegawai Daerah Bandar Baharu, Mohd. Noor Ismail ketika menyembahkan ucapan berkata Program Durian Agro Tourism Fest kali ini merupakan kali ketiga diadakan di Daerah Bandar Baharu yang mana kali pertama telah diadakan pada tahun 2019 dan kali kedua tahun 2024 yang lalu. Jika dilihat dari segi tarikannya, dipercayai program ini boleh diperkembangkan lagi supaya menarik lebih ramai pengunjung dan penggemar tegar durian dari serata negeri dan juga menjadi tarikan pelancongan khasnya di Daerah Bandar Baharu dan seterusnya kepada Negeri Kedah.
“Patik yakin, umum telah mengetahui bahawa daerah Bandar Baharu mempunyai banyak dusun buah-buahan terutamanya durian berkualiti tinggi yang tertumpu di kawasan Bukit Limau, Bagan Samak, Air Puteh, Serdang, Sungai Kechil Hilir dan Relau. Keluasan keseluruhan tanaman merangkumi 684.59 hektar manakala keluasan hasil yang telah diperolehi sekitar 596.31 hektar.
“Daerah Bandar Baharu juga terdapat industri produk hiliran durian seperti Frozen Whole Durian, Frozen Durian Pulp dan Frozen Durian Paste oleh Syarikat CKE dan produk aiskrim oleh Nictron Agriculture Sdn Bhd yang mempunyai ladangnya di Sungai Kechil Hilir. Durian juga dapat mewujudkan pelbagai makanan sampingan yang lain seperti pulut durian, cucur durian, dodol durian, ais krim durian, tempoyak durian dan kini wujud pula jus durian.
“Justeru penganjuran program ini akan dapat membantu mempromosikan dan memperlihatkan pelbagai jenis durian dan produk yang ada kepada para pengunjung pelbagai negeri yang hadir seterusnya memeriahkan program ini selain bersempena Tahun Melawat Kedah 2025 dengan tema Experience Kedah dan juga Road To Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan sempena Majlis Perasmian Durian Agro Tourism Fest Bandar Baharu 2025 di Dataran Bandar Baharu di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya, Dato’ Shaharuddin Khazali; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan Dan Pengangkutan Negeri, Dzowahir Abd Ghani dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin.
Dalam perkembangan sama, Mohd Noor berkata program pada tahun ini juga terdapat pelbagai booth jualan dan pameran yang telah disediakan untuk orang ramai merangkumi agensi kerajaan serta swasta. Pelbagai aktiviti turut diadakan seperti sukaneka, kuiz, pertandingan mewarna, pertandingan memasak berasaskan durian, pertandingan durian terbaik, pertandingan memancing udang galah, kejohanan kayak sprint 200 meter dan lain-lain aktiviti yang menarik sepanjang tempoh empat hari bermula 26 Jun 2025 hingga hari ini.
“Di Daerah Bandar Baharu juga terdapat pelbagai tempat pelancongan yang menarik yang boleh dikunjungi oleh sernua pihak antaranya Farmstay Relau yang mempunyai chalet ala rumah kampung tradisional serta tanaman dusun durian yang luas. Selain itu, para pengunjung dan pelancong boleh juga mendaki Bukit Angin dengan ketinggian 416 meter dari aras laut yang menjanjikan permandangan yang sungguh luar biasa antara negeri Kedah, Perak dan Pulau Pinang,” ujarnya.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed