
PELBAGAI PAKEJ PELANCONGAN MENARIK DITAWARKAN SEMPENA MATTA FAIR KEDAH 2025

SUNGAI PETANI (26 Julai 2025) – Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Negeri Kedah telah menganjurkan program MATTA Fair Kedah 2025 di Central Square, Sungai Petani bermula 25 hingga 27 Julai 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata program seperti MATTA Fair bukan sahaja menjadi pemangkin kepada industri pelancongan negara, malah turut menyumbang secara langsung kepada ekonomi negeri-negeri termasuklah negeri Kedah yang kita cintai ini.
”MATTA Fair telah terbukti sebagai platform yang berkesan dalam mempertemukan pemain industri dengan orang ramai, memperkenalkan destinasi baharu serta memasarkan pelbagai pakej menarik yang mampu milik.
”Kerajaan Negeri Kedah sentiasa menyokong penganjuran program seumpama ini dan percaya bahawa kolaborasi antara sektor awam dan swasta adalah kunci kepada kemajuan sektor pelancongan yang mampan. Kita perlu terus berinovasi dalam pendekatan, berani dalam promosi dan konsisten dalam penyampaian.
”Bagi memperkukuh impak MATTA Fair, saya ingin mencadangkan beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan pada masa akan datang. Pertama, penyertaan lebih banyak penggiat pelancongan dari luar bandar seperti usahawan enap desa, pengusaha pelancongan komuniti dan pemandu pelancong tempatan.
”Kedua perbanyakan aktiviti interaktif di tapak pameran seperti persembahan budaya, demonstrasi masakan tradisional atau aktiviti maya realiti (VR) bagi menarik minat pengunjung muda. Ketiga galakan lebih banyak kolaborasi antara pempamer untuk menawarkan pakej bersama yang lebih komprehensif dan menarik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena perasmian MATTA Fair Kedah 2025 di Central Square, Sungai Petani di sini, hari ini.
Hadir sama Presiden MATTA Malaysia, Nigel Wong; Presiden MATTA Chapter Kedah/Perlis, Subramaniam Punusamy; Pengarah BPEN Kedah, Junaidi Abdul Rani @ Abdul Ghani dan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Abdul Hadi Che Man.
Dalam perkembangan sama, Salleh menyeru supaya pengunjung merebut peluang yang ditawarkan sepanjang MATTA Fair ini sama ada untuk bercuti dalam negara atau luar negara kerana banyak pakej-pakej eksklusif ditawarkan dengan harga yang amat berpatutan.
”Jangan lepaskan peluang ini dan jangan lupa belek-beleklah tempat menarik yang berkaitan dengan negeri Kedah kerana apa yang ditawarkan oleh negeri ini pastinya memberikan pengalaman manis dan hebat yang akan dikenang seumur hidup.
”Sesungguhnya Kerajaan Negeri sangat komited dalam usaha mengangkat sektor pelancongan sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi Negeri ini dan kita mahu Kedah bukan sahaja dikenali sebagai negeri jelapang padi negara, malah juga sebagai sebuah negeri yang sarat dengan khazanah, sejarah, warisan dan budaya.
”Kita memiliki daya tarikan yang unik, autentik dan tidak dimiliki oleh kebanyakan tempat lain. Oleh itu, promosi berterusan dan penglibatan aktif semua pihak amat diperlukan dalam memastikan pengunjung dapat kongsikan pengalaman di media sosial atau di mana-mana platform menceritakan kepada orang lain tentang seronoknya bercuti di Negeri ini,” ujarnya.
Sumber: Warta Kedah
Comments are closed