
PELBAGAI INISIATIF PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR DIADAKAN UNTUK KEBAIKAN GENERASI AKAN DATANG
KHAMIS (21.08.2025)
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah sentiasa komited dalam memastikan kemampanan alam sekitar di negeri ini terpelihara selaras dengan Dasar Alam Sekitar Negara (DASN). Dasar ini adalah merupakan inisiatif Kerajaan Malaysia untuk memastikan pembangunan ekonomi, sosial dan budaya yang berterusan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui kesejahteraan alam sekitar dan pembangunan lestari. DASN bertujuan untuk mencapai alam sekitar yang bersih, selamat, sihat dan produktif memulihara warisan alam semulajadi dan menggalakkan cara hidup serta pola penggunaan yang lestari.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air Dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata Kerajaan Negeri terlibat secara aktif dalam perlaksanaan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022-2030 yang bertujuan untuk memelihara dan memulihara biodiversiti negara secara mampan.
“DKBK ini dilancarkan pada 24 Okrober 2023 dan menekankan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan dasar tersebut. Usaha pemeliharaan alam sekitar di Kedah adalah selari dengan visi pembangunan negeri, seperti The Greater Kedah 2050 yang menekankan pembangunan mampan dan pemeliharaan alam sekitar dalam transformasi ekonomi dan sosial negeri.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Kedah sedang melaksanakan beberapa pendekatan holistik dalam memastikan kemampanan alam sekitar melalui pelbagai inisiatif dari pemuliharaan hutan dan bakau, pengurusan sumber air, penglibatan komuniti hingga kepada pembangunan berasaskan sains dan pendidikan. Ini jelas mencerminkan komitmen jangka panjang dalam mengimbangi pembangunan dan kelestarian alam bagi generasi kini dan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawap soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Hanif Ghazali berkenaan usaha-usaha Kerajaan Negeri Kedah dalam memastikan kemampanan alam sekitar di negeri ini ketika berbahas di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Kedah Darul Aman Yang Ke-15, Hari Kedua di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Munir berkata beberapa langkah strategik telah dan sedang dilaksanakan termasuklah pemuliharaan hutan dan biodiversiti di bawah kerangka The Greater Kedah 2025 bagi memastikan kemampanan alam sekitar di bawah Teras 6: Kemampanan Alam Sekitar dengan aktiviti penanaman pokok secara besar-besaran.
“Selain itu, penglibatan komuniti dan kesedaran awam melalui program CEPA (Community and Education Public Awareness) turut dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan Alam Sekitar dengan menganjurkan pelbagai program seperti Hari Lestari Sungai, Hari Alam Sekitar Sedunia, Karnival Air dan Alam Sekitar serta program pemuliharaan Hutan Bakau.
“Kemampanan alam sekitar juga turut diperkasakan melalui pelaksanaan undang-undang yang berkaitan pemeliharaan alam sekitar yang melibatkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan PERHILITAN Negeri, Jabatan Perhutanan Negeri, Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan lain-lain bagi menjalankan operasi penguatkuasaan undang-undang alam sekitar dan pemburuan haram. Kerajaan juga turut memastikan kemampanan alam sekitar melalui pengurusan sumber air dan sungai.
“Secara keseluruhannya, semua inisiatif ini menggambarkan iltizam Kerajaan Negeri Kedah dalam mengimbangkan pembangunan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar. Usaha ini adalah demi memastikan kesejahteraan rakyat Kedah terjamin, sekaligus mewariskan sebuah negeri yang hijau, bersih dan lestari kepada generasi akan datang,” ujarnya.
Sumber: Warta Kedah
Comments are closed