
RAKYAT KEDAH DISERU MENANAM POKOK BAGI MENCUKUPI KEMPEN PENANAMAN 2.2 JUTA POKOK.
SELASA (02.09.2025)
JERLUN – Program Penanaman Pokok Bakau anjuran Pejabat Tanah Galian Negeri Kedah Sempena Penghijauan Negeri Kedah dilaksanakan untuk menyahut seruan Kempen Penanaman 2.2 Juta Pokok yang telah dirasmikan oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah pada 21 Januari sebagai inisiatif menghijaukan Kedah. Seramai 400 orang daripada 19 agensi termasuk pelajar daripada Institut Latihan Perindustrian hadir menyertai program ini.
Kolaborasi kali pertama antara Jabatan Perhutanan Negeri Kedah bersama Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah
dilaksanakan dengan jayanya di Kampung Jeruju, Mukim Jerlun, Daerah Kubang Pasu. Sebanyak 1,000 pokok disumbang oleh Jabatan Perhutanan untuk ditanam dalam kawasan berukuran 1.85m×1.85m.
Sebelum acara penanaman dimulakan, peserta diberikan taklimat ringkas oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah mengenai cara penanaman pokok bakau. Kaedah penanaman yang digunakan ialah kaedah penanaman anak benih di dalam polybag ke dalam lubang yang telah ditugal.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali berkata hasil Program Penanaman Paya Bakau anjuran Pejabat Tanah dan Galian ini, jumlah pokok yang ditanam akan mencecah 117,000 pokok.
”Saya menyeru setiap individu untuk menanam apa jua pokok di kediaman masing-masing, lalu mendaftarkan jumlah pokok yang ditanam untuk mencapai sasaran tersebut. Penglibatan rakyat Kedah dalam program ini memberi impak yang besar kerana dasar penetapan jumlah 2.2 juta pokok adalah berdasarkan populasi penduduk di Kedah.
“Fungsi bakau amat besar. Dengan penanaman bakau, kesan-kesan hakisan di pantai dapat dikurangkan, seterusnya dapat mengatasi masalah banjir di negeri Kedah malah penanaman bakau dapat membantu dari segi menambah baik ekosistem habitat.
”Kita sedang menghadapi isu kepupusan biotik seperti udang, ketam dan sebagainya akibat kekurangan pokok bakau. Jadi, program sebegini penting untuk membina semula ekosistem habitat pokok bakau.”
“Penanaman pokok juga membantu dalam aspek kesihatan terutamanya dalam mempromosikan gaya hidup sihat. Apabila kawasan sekitar dipenuhi pokok, kita akan lebih bersemangat untuk melakukan aktiviti-aktiviti sihat seperti berbasikal, berjalan dan berjoging berbanding apabila kita berada di kawasan-kawasan bandar yang dikelilingi bangunan dan tidak mempunyai pokok,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Program Penanaman Pokok Bakau anjuran Pejabat Tanah Galian Negeri Kedah Sempena Penghijauan Negeri Kedah di Kampung Jeruju, Mukim Jerlun, Daerah Kubang Pasu di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah PTG Negeri Kedah, Dato’ Muhamad Arof Darus; Setiausaha Jemaah Dato’ Negeri Kedah, Dato’ Mohamad Che Nai; ADUN Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir dan Yang Dipertua MPKP, Badrulhisham Sulaiman.
Sumber: Warta Kedah






Comments are closed