
JADIKAN AMALAN BERSUKAN SEBAGAI PENGHUBUNG PERSAUDARAAN SELAIN UNTUK KECERGASAN DAN KESIHATAN – SANUSI


RABU (03.09.2025)
SINTOK – Bersukan adalah suatu keperluan bagi yang mempunyai kesedaran untuk menjaga kesihatan. Ianya bukan sahaja mengenai minat terhadap sukan yang tertentu tetapi mereka sedar betapa perlunya sukan untuk memastikan diri sentiasa sihat dan cergas di samping menjaga bentuk badan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kesihatan dan kecergasan penting untuk hidup sejahtera, ceria dan sentiasa produktif. Ia akan membawa banyak kesan yang baik dalam hidup kita.
“Kita tidak hanya perlu menjadi seorang atlet atau ahli sukan profesional untuk bergiat aktif dalam sukan malah bagi atlet-atlet yang terlibat dengan Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA), walaupun bertaraf amatur namun saya yakin anda sudah mempunyai kesedaran yang cukup tinggi mengenai kepentingan bersukan dalam kehidupan.
“Terdapat beberapa perkara yang perlu saya ingatkan, yang perlu saya pesan supaya keaktifan bersukan terus kekal menjadi perkara yang paling baik dalam kehidupan. Pertama sekali, sentiasalah patuh pada prosedur bersukan yang betul, patuh pada arahan dan nasihat jurulatih supaya keaktifan bersukan tidak meninggalkan kesan yang tidak baik kepada diri kita samada jangka pendek atau jangka panjang. Jika tidak ikut cara yang betul, mungkin kesan buruk itu tidak ketara pada ketika masih muda belia tetapi ia akan memberi kesan apabila usia kita meningkat dewasa.
“Kedua, pastikan kita tidak terlalu mengikut emosi ketika terlibat dalam sesuatu perlawanan atau pertandingan. Terdapat orang yang cukup berbakat tetapi kerana gagal mengawal emosi, akhirnya tidak ke mana. Berlawan dan bertandinglah dengan penuh semangat kesukanan.
“Manfaatkanlah pertandingan dalam SUKDA ini, mahupun dalam kejohanan- kejohanan yang lain untuk mengukuhkan semangat persaudaraan sesama kita. Bertandinglah sesama kita sebagai warga Kedah yang baik dan berhemah tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Temasya Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA) Ke-7 Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok Tahun 2025 di Stadium UUM di sini, semalam.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Speaker DUN Kedah, Zubir Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia Dan Sukan Negeri, Muhammad Radhi Mat Din; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah, Zulzuraidy Othman.
Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata SUKDA 2025 Edisi Ke-7 yang akan berlangsung sehingga 8 September 2025 adalah untuk mengenal pasti bakat yang akan dipilih mewakili Negeri Kedah ke Kejohanan Sukan Malaysia atau SUKMA di Selangor tahun hadapan dan beliau berharap para atlet supaya bertandinglah dengan bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama daerah masing-masing, seterusnya membawa nama Negeri Kedah ke persada yang tertinggi.
“Jadikanlah ahli-ahli sukan ternama dari Negeri Kedah sebagai idola seperti Pearly Tan yang berpasangan dengan M.Thinaah yang menjadi Naib Juara Kejohanan Badminton Dunia di Paris baru-baru ini.
“Saya merakamkan ucapan setinggi- tinggi penghargaan dan tahniah kepada Majlis Sukan Negeri Kedah, terima kasih kepada pihak UUM yang memberi tempat dan ruang untuk kejohanan ini berlangsung dan tidak lupa kepada semua agensi dan pegawai-pegawai di peringkat daerah yang menyertai kejohanan kali ini,” ujarnya.
Sumber: Warta Kedah

Comments are closed