
ISTIQAMAH TELADANI RASULULLAH S.A.W. DALAM SETIAP ASPEK KEHIDUPAN – SULTAN KEDAH

JUMAAT (05.09.2025)
ALOR SETAR – Peristiwa Maulidur Rasul bukan semata-mata untuk diraikan secara simbolik, tetapi hendaklah dihayati secara menyeluruh, melalui penghayatan terhadap sirah dan akhlak Rasulullah S.A.W.
Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah sesungguhnya, pada diri Baginda Rasulullah S.A.W terdapat suri teladan yang paling sempurna, sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Ah-zab ayat 21 “Sesungguhnya telah ada pada Rasulullah itu, contoh teladan yang baik bagimu, bagi orang yang mengharap akan rahmat Allah, dan kedatangan hari kiamat, serta yang banyak mengingati Allah.”
”Rasulullah bukan sekadar utusan Allah, bahkan merupakan pemimpin yang berjaya membina tamadun dan peradaban manusia. Baginda memiliki akhlak yang luhur, kepimpinan yang adil, serta kasih sayang yang tidak berbelah bahagi terhadap umatnya.
”Beta menzahirkan harapan agar seluruh rakyat Negeri Kedah menjadikan Rasulullah sebagai contoh dalam membina peribadi, memimpin keluarga, memacu organisasi, serta membangunkan masyarakat dan negeri, sehinggakan terbentuknya masyarakat Islam Madinah. Nilai-nilai kejujuran, amanah, kasih sayang, hormat-menghormati, tolak ansur dan keadilan perlu menjadi amalan dalam kehidupan seharian.
”Dr. Yusuf Al- Qaradawi seorang ulamak tersohor, menulis di dalam bukunya yang berjudul, “The Middle Path Harmony Through Moderation”. Islam is emphasizing to manifest harmony by balancing matters such as tradition and modernity, Individualism and community, reason and faith. This reflects the harmonious model exemplified by Prophet Nabi Muhammad S.A.W, who united diverse communities through balanced, fair, and inclusive leadership.
”Oleh yang demikian, Beta menyeru agar seluruh rakyat Negeri Kedah tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang hendaklah terus memelihara keharmonian dan saling menghormati antara satu sama lain. Beta juga ingin menegaskan bahawa, keamanan dan perpaduan yang kita kecapi pada hari ini, adalah nikmat besar yang wajib disyukuri dan dipertahankan bersama,” titah Tuanku.
Tuanku bertitah demikian dalam titahnya sempena Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2025 di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Berangkat hadir sama Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr Syeikh Fadzil Awang; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Mohd Azam Abd Samat dan Timbalan Pengarah (Operasi) JHEAIK, Dato’ Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim.
Dalam perkembangan sama, Tuanku amat menghargai segala usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam memperkukuh aspek pembangunan ekonomi, pendidikan, kebajikan, dan sosial. Pembangunan yang bersifat seimbang antara rohani dan jasmani adalah sejajar dengan pendekatan Rasulullah dalam membina masyarakat Madinah yang maju, adil dan berakhlak tinggi.
”Dalam arus dunia yang serba mencabar ini, umat Islam sedang berdepan dengan pelbagai ujian baik dari aspek moral, sosial, ekonomi mahupun ideologi. Maka, menjadi tanggungjawab kita semua untuk memperkukuh jati diri, memperkasa institusi keluarga serta membentuk generasi muda yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.
”Beta menyeru agar semua pihak, sama ada sektor awam, swasta, pertubuhan masyarakat dan individu berganding bahu dalam menjayakan agenda pembangunan negeri dengan semangat keikhlasan dan cinta kepada negeri tercinta ini.
”Semoga Sambutan Maulidur Rasul ini, menjadi titik mula kepada kebangkitan semangat baharu dalam kalangan umat Islam di negeri ini untuk kembali kepada nilai-nilai murni Islam yang sebenar dan terus Istiqamah meneladani Baginda dalam setiap aspek kehidupan,” tambah Tuanku.
Sumber: Warta Kedah

Comments are closed