
SEMANGAT FEDERALISME YANG ADIL DAPAT TERJEMAH PERANCANGAN MENYELURUH BANDAR DAN LUAR BANDAR – SANUSI

SABTU (06.09.2025)
BALING – Daerah Baling kali ini dipilih sebagai lokasi penganjuran Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kedah. Penganjuran yang berlangsung selama 3 hari ini bermula 4 September lalu dan berakhir hari ini 6 September 2025 mempamerkan pelbagai pameran jabatan dan agensi persekutuan serta negeri di samping pelbagai aktiviti lain seperti jualan, pemeriksaan kesihatan, kuiz, cabutan bertuah dan banyak lagi.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata saya dimaklumkan Program MADANI Rakyat yang berlangsung sejak beberapa hari ini cukup meriah dan memberi impak yang positif dalam usaha mendekatkan perkhidmatan Kerajaan dengan rakyat. Penduduk Baling berpeluang untuk bertemu mesra dengan pemimpin Negara dan pegawai-pegawai dari pelbagai Kementerian dan Agensi yang datang dari Putrajaya dan seantaranya.
”Daerah Baling di bawah Pelan Pembangunan Kedah 2035, diletakkan sebagai Daerah Pelancongan Eko. Dengan aset alam semulajadi dan juga tinggalan sejarah yang pelbagai, kita yakin ia akan menjadi tarikan kepada pelancong dalam dan luar negara.
”Pada 15 dan 16 Ogos lalu, telah berlangsung acara marathon The Magnficient Baling (TMB) 100. Ini adalah marathon kali yang ketiga dianjurkan Pejabat Daerah Baling dan Majlis Daerah Baling (MDB) dengan kerjasama pihak swasta. Menariknya TMB100 tahun ini yang dilangsungkan dalam empat acara iaitu larian sejauh 10 km, 25 km, 50 km dan 100 km disertai 2,200 peserta dari 13 negara. Marathon TMB 100 yang bertujuan memupuk kesedaran menghargai alam semulajadi dan hubungan sesama insan (people connectivity) boleh dikira setaraf dengan larian ultra-trail peringkat antarabangsa dari segi cabaran laluan.
”Kedah yang dikenali sebagai Negeri Jelapang Padi Negara kini sedang menuju ke arah sebuah negeri perindustrian menerusi pengembangan kawasan industri sedia ada di Kulim Hi-Tech Park dan Padang Meiha, Kulim. Insya Allah, langkah ini akan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri dan kesejahteraan hidup rakyat dengan lebih pesat.
”Kerjasama berterusan oleh Kerajaan Persekutuan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri Kedah amatlah dihargai. Antaranya oleh NCER melalui Pembangunan Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap, Pembinaan Laluan Jalan Raya bagi Menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah ke CIQ Sadao, Thailand. Inisiatif pembangunan mampan di bawah kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan Negeri adalah formula terbaik memastikan Negeri Kedah dapat turut menyumbang dengan lebih baik dalam pembangunan Negara.
”Kedah juga sedang dalam usaha untuk menarik kedatangan pelancong selaras dengan penganjuran Tahun Melawat Kedah 2025. Pelaksanaan program PMR 2025, ini antara pemangkin utama untuk menarik pelancong-pelancong tempatan ke Baling bagi meneroka keindahan flora dan fauna yang ada di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Penutupan Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Kedah di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling di sini, hari ini.
Hadir sama Perdana Menteri, Dato’ Seri Diraja Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali.
Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata Kerajaan Negeri Kedah juga komited untuk terlibat menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan bersedia untuk menerima kedatangan pelancong yang lebih ramai dari dalam dan luar negara. Kerajaan Negeri juga memohon pertimbangan YAB Perdana Menteri untuk membantu menaik taraf kemudahan pelancongan sedia ada bagi menjayakan kempen berkenaan.
”Maka, izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk ke Kedah. Rasailah pengalaman menyusuri kehijauan sawah padi yang terbentang luas, jelajah gunung-ganang, hayati seni budaya tempatan serta terokai lokasi-lokasi sejarah yang tidak ternilai.
”Harapan saya, dengan semangat “whole of nation” dalam hubungan antara Persekutuan dan Negeri di bawah semangat federalisme yang dihayati sepenuhnya, segala perancangan dan aspirasi rakyat akan dapat diterjemahkan secara adil, saksama dan menyeluruh di bandar mahupun luar bandar,” tambahnya.
Sumber: Warta Kedah

Comments are closed