
JKKN KEDAH ANJUR PERTANDINGAN GEMERSIK SOGHA IRAMA MALAYSIA 2025

SABTU (20.09.2025)
ALOR SETAR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Persatuan Penggiat Seni Kreatif Negeri Kedah (PERSPEKTIF) dengan Kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah menganjurkan Program Penyemarakan Seni Budaya : Pencungkilan Bakat Pertandingan Gemersik Soqha Irama Malaysia 2025 di Auditorium JKKN Kedah di sini, hari ini.
Seramai 15 peserta finalis malam kemuncak akhir pertandingan berentap dengan penuh semangat dalam merebut gelaran Juara yang membawa pulang Mock Cheque dan Trofi.
Program ini bertujuan adalah untuk memartabatkan seni muzik tradisonal Malaysia dan lagu-lagu Irama Malaysia kepada generasi muda disamping menyediakan platform kepada semua generasi dalam mengasah dan menyerlahkan bakat pelbagai cabang seni persembahan khususnya seni suara ke peringkat yang lebih tinggi.
Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada peserta yang terpilih di peringkat saringan untuk menyertai bengkel bagi mempelajari teknik vokal bersama dengan tokoh yang mempunyai kemahiran dalam bidang seni suara terutamanya dalam genre lagu irama Malaysia.
Majlis penyampaian hadiah program Penyemarakan Seni Budaya : Pencungkilan Bakat Pertandingan Gemersik Soqha Irama Malaysia disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali.
Hadir sama Pengarah Bahagian Dasar dan Penyelidikan, JKKN Ibu Pejabat Kuala Lumpur, Jasmi Rasmit; Pengarah Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan (MBAS), Afizudin Mohd Saad; Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Kedah, Sabarina Masadi dan Timbalan Pengerusi Perspektif, Aznida Nur Azizan.
Sumber: Warta Kedah

Comments are closed