
HARI CUCI MALAYSIA BINA SEMANGAT KERJASAMA DAN TOLERANSI DALAM MASYARAKAT








SABTU (27.09.2025)
YAN – Daerah Yan yang terkenal dengan Daerah Pelancongan Desa sangat menitikberatkan kebersihan persekitaran supaya dapat menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negeri merasai keindahan alam semulajadinya yang tersendiri selain menyahut seruan Kerajaan Negeri sempena Tahun Melawat Kedah 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Mohd Azam Abd Samat berkata program cuci ini bertujuan untuk memberi motivasi dan peringatan berulang kali agar kita sentiasa menjaga kebersihan persekitaran kita disamping mengamalkan gotong-royong dan bekerjasama ini.
”Hadirin yang hadir pada hari ini secara tidak langsung menyahut seruan Allah S.W.T supaya tolong-menolong dan bekerjasama dalam apa jua urusan atau kerja harian di peringkat keluarga, komuniti, daerah dan negeri agar kita mendapat ganjaran pahala selain dapat beramah mesra dan bertegur sapa sesama kita.
”Saya menyokong penuh usaha Pegawai Daerah Yan untuk mengadakan program gotong-royong sebanyak empat kali dalam setahun supaya budaya ini kita boleh wujudkan dalam masyarakat kita, maka kita menghidupkan kembali budaya generasi nenek moyang kita yang semakin pudar pada masa kini.
”Saya berharap penganjuran seumpama ini dapat membina semangat kerjasama serta toleransi sesama kita akan terus kukuh dalam masyarakat kita khususnya di negeri Kedah yang kita cintai ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Hari Cuci Malaysia Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2025 sempena Program Pembersihan Mega Seluruh Negara di Pekan Sungai Limau Dalam, Yan di sini, hari ini.
Hadir sama ADUN Guar Chempedak, Abd Ghafar Saad; Ahli Dewan Negara, Senator Musoddak Ahmad; Pegawai Daerah Yan merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Yan, Maznim Ismail dan Pengarah SWCorp Negeri Kedah, Nordin Amat.
Dalam perkembangan sama, Maznim dalam ucapan aluan berkata saya menyeru semua warga Yan mengambil peluang program seumpama ini untuk menghangatkan lagi Tahun Melawat Kedah 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 akan datang dengan menggiatkan diri dalam sektor-sektor ekonomi terutama dalam bidang pelancongan yang boleh meningkatkan pendapatan dan ekonomi keluarga masing-masing.
”Dalam meningkatkan ekonomi dalam bidang pelancongan desa, saya juga menyeru agar pengusaha chalet dan premis perniagaan di Yan dapat mengikut garis panduan yang ditetapkan serta memastikan agar kawasan chalet dan premis perniagaan sentiasa dalam keadaan bersih.
”Kita perlu sedar bahawa kerja cuci mencuci ini bukan sahaja kerja PBT, SWCorp dan E-Idaman tetapi juga tanggungjawab bersama dalam memastikan kawasan serta premis berada dalam keadaan bersih,” tegasnya.
Sumber: Warta Kedah
Comments are closed