
PAMERAN ULAMA DAN INSTITUSI PONDOK SUMBER RUJUKAN KEILMUAN ISLAM DI KEDAH – MUFTI KEDAH

ALOR SETAR (04.11.2025) – Sejarah ulama dan pondok Kedah pada awal abad ke-20 sangat mengagumkan walaupun serba kekurangan, semangat jihad menuntut ilmu tidak pernah padam. Terdapat kisah ulama kita yang mengembara ke Tanah Suci selama berbulan-bulan menaiki kapal, semata-mata untuk menimba ilmu dan apabila pulang ke Kedah, mereka berkhemah di rumah tinggal dan dari situlah berkembang menjadi pondok yang menaungi ratusan penuntut ilmu.
Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr. Syeikh Fadzil Awang berkata Sejarah Ulama dan Pondok Kedah boleh dikatakan sedalam aliran Sungai Kedah, sejauh bentangan bukit-bukau Sik dan Baling tidak pernah terpisah daripada madrasah, surau serta pondok di antaranya. Di sinilah lahirnya Ulama Pondok yang pernah menentang penjajahan Siam, lahirnya pejuang ilmu yang berhubung dengan Aceh, Pattani dan Nusantara, lahirnya Pentafsir hukum yang mempertahankan kedudukan hukum Syariah di negeri ini.
“Jika dulu, Pondok adalah Universiti Rakyat Yang Pertama sebelum wujudnya universiti moden, pondoklah gedung ilmu, melahirkan qadhi, mufti, imam, bahkan negarawan. Antara pondok tersohor zaman itu ialah Pondok Titi Gajah, Pondok Bagan Ulu, Pondok Alor Star, Pondok Pulau Pisang dan Pondok Bukit Choras.
“Apabila kita berbicara tentang Kedah, bukan hanya sawah padi yang menghijau menjadi lambang keindahan negeri ini tetapi bumi Kedah juga menyimpan khazanah agung sejarah ulama, pewaris anbiya’ yang memugar cahaya ilmu, menyambung risalah Nabi Muhammad SAW dari generasi ke generasi.
“Negeri Kedah terkenal sebagai negeri tua yang kaya tamadun ilmu dan dakwah. Pada awal abad ke-20, selain ulama, institusi pondok juga menjadi benteng pendidikan Islam biarpun serba kekurangan, namun ulama kita tidak pernah menyerah kepada kekangan zaman.
“Oleh itu, hari ini kita menganjurkan satu pameran mengenai ulamak dan pondok selama dua (2) bulan iaitu bermula 29 November 2025 sehingga 31 Januari 2026 adalah untuk memberi pendedahan menyeluruh kepada masyarakat mengenai sejarah ulama dan institusi pondok di Kedah melalui platform ilmiah seperti pameran, wacana dan simposium, seterusnya menjadi sumber rujukan keilmuan serta menyokong agenda Tahun Melawat Kedah 2025 (Experience Kedah) melalui penganjuran acara berimpak agama, budaya dan sejarah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya sempena Majlis Perasmian Pameran Ulama Dan Institusi Pondok Negeri Kedah di Muzium Negeri Kedah di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi Dan Penerangan Negeri Kedah, Dato’ Mohd Azam Abd Samat; Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Ahmad Sayuti Ayob; Pegawai Teknologi Maklumat Majlis Bandaraya Alor Setar, Nur Fazlina Tafarudin dan Penolong Kurator Kanan Muzium Negeri Kedah, Zulkhiberi Mat.
Terdahulu, Mohd Azam dalam ucapan aluannya berkata sejarah mencatatkan bahawa sinar Islam tiba ke negeri ini sejak tahun 1136 Masihi, pada zaman pemerintahan Sultan Mudzafar Shah. Ulama yang datang dari Tanah Arab, Parsi dan Nusantara menjadi duta dakwah, membuka lembaran baru Tamadun Kedah sebagai sebuah Negeri Islam tertua di Nusantara. Mereka bukan sahaja berdakwah malah merekalah guru, penasihat istana, ahli falak, penulis kitab, hakim syariah dan pembimbing ummah.
“Ada ulama yang berjalan kaki dari kampung ke kampung, hanya untuk memastikan ajaran Islam sampai kepada semua. Ada yang menulis kitab dengan pelita minyak yang malap, namun cahaya ilmunya menerangi seluruh Nusantara. Ada yang memakai baju yang sama bertahun-tahun, tetapi ilmunya menjadi pakaian masyarakat dan semuanya dilakukan dengan penuh keikhlasan dan tawakal,” ujarnya.
Sumber: Warta Kedah

Comments are closed