
KDBP 2025 DIRANGKA MEMANDU KE ARAH TRANSFORMASI DIGITAL NEGERI KEDAH
ALOR SETAR – Kedah Digital Blue Print 2050 (KDBP2025) merupakan sebuah rancangan strategik yang dirangka untuk memandu transformasi digital Negeri Kedah Darul Aman. Sebanyak dua siri Bengkel Penyediaan KDBP 2050 telah dijalankan iaitu Lab Kedah Digital Blueprint Siri 1 yang telah diadakan pada 15 dan 16 Mei 2024 di Jerai Hill Resort, Gurun serta Siri 2 diadakan pada 1 hingga 3 September 2024 di Langkapuri Resort, Langkawi.
Siri 1 diadakan memberi penekanan Hala Tuju Pendigitalan Negeri Kedah yang akan memfokuskan kepada Kajian Pengurusan, Business Prosess Rreengineering serta Penetapan Inisiatif Strategik dalam Sistem Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan Negeri Kedah bagi menyokong aspirasi The Greater Kedah. Siri 2 pula memberi kesinambungan daripada Lab KDBP Siri 1 bagi memperincikan Visi, Misi, Teras, Fasa Pelaksanaan, Inisiatif dan Pelan Tindakan, KPI serta peneraju kepada insiatif KDBP bagi tempoh 2025-2050.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pendigitalan sistem pentadbiran sudah mencapai 80 peratus dan ianya meliputi semua peringkat dari mula hingga akhir.
”Alhamdulillah, Negeri Kedah akan terus maju ke hadapan dalam usaha pendigitalan perkhidmatan bagi memudahkan urusan pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan perasmian Majlis Peluncuran Kedah Digital Blueprint 2050 (KDBP2050) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Mohd Azam Abd Samat; Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Dr. Nadzman Mustaffa dan Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat & Komunikasi Negeri, Balkhis Abu Bakar.
Kedah Digital Blueprint 2050 (KDBP2050) menggariskan hala tuju transformasi digital negeri melalui pembangunan infrastruktur moden, peningkatan bakat digital, pengukuhan keselamatan siber dan pemacuan inovasi R&D untuk menjadikan Kedah sebuah negeri digital berdaya saing.
Dokumen ini menilai prestasi digital semasa, meneliti trend global serta membentangkan empat teras strategik iaitu perkhidmatan digital, masyarakat digital, kerajaan digital dan teknologi keterdepan.
Ia turut menetapkan struktur tadbir urus melalui Majlis Digital Negeri Kedah (MDNK), mekanisme pemantauan, KPI serta cadangan strategik merangkumi dasar, pelaburan dan pembangunan ekosistem digital bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap, rakyat celik digital dan ekonomi negeri yang lebih mampan dan berdaya saing.
Laporan kemajuan keseluruhan akan dibentangkan sebagai agenda tetap Mesyuarat Majlis Digital Negeri Kedah (MDNK) bagi memastikan tadbir urus, pemantauan dan penyelarasan KDBP2050 sentiasa berada pada tahap optimum.
Dengan strategi yang tepat seperti terkandung di dalam KDBP2050, Negeri Kedah berupaya untuk mempromosi ekosistem digital yang boleh mengubah cara kerajaan negeri berfungsi di era digital yang pesat.
Sumber: Warta Kedah




Comments are closed