
PENJAWAT AWAM NEGERI PERLU JUJUR, AMANAH DAN BERTANGGUNGJAWAB – NORIZAN

KUALA KETIL (05.01.2026) – Penjawat Awam di Negeri Kedah diharap dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dengan mengambil kira beberapa faktor dan cici-ciri yang perlu ada di dalam diri masing-masing agar kejayaan melaksana tanggungjawab memimpin dan menghasilkan dasar kerajaan dapat dilaksanakan selaras dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali berkata sebagai penjawat awam yang terbaik, hendaklah mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang terbaik melalui elemen-elemen yang perlu dimiliki termasuk kekuatan mental dan fizikal agar mampu melaksanakan tanggungjawab dengan cekal dan berdaya tahan.
“Dalam melaksanakan tugasan harian, kita hendaklah mempunyai empati di mana kita sentiasa memahami situasi rakyat dengan meletakkan diri di tempat pelanggan supaya perkhidmatan yang diberikan benar-benar memenuhi keperluan masyarakat. Bagi sudut ini, sebagai Penjawat Awam kita perlu banyak membantu dan menolong masyarakat yang mahu kehendak mereka ditunaikan walau dalam apa cara sekalipun tidak dengan hanya menerima laporan tetapi dibiarkan lama untuk diambil tindakan.
“Selain itu, disiplin dalam diri juga perlu dilihat sebagai perkara yang utama kerana berdisiplin dalam tugasan serta patuh pada garis panduan, pekeliling dan arahan kerajaan. Ketaatan pada ketua dan amalan nilai murni mencerminkan peribadi berdisiplin. Dalam agama juga jelas mengajar kita agar berdisiplin supaya kita tidak menyimpang dari tugasan kita yang sebenar.
“Kita juga perlu amanah dalam melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, jujur dan telus, serta memastikan setiap tindakan tidak merugikan kerajaan dan rakyat. Amanah merupakan satu perkara yang besar dan perlu perhatian, amanah bukan hanya dapat megelakkan kita dari makan rasuah sahaja tetapi apa sahaja berkaitan laporan kita, penulisan kita, arahan kita, pengajaran kita juga merupakan amanah sebab mungkin kerana laporan kita yang tidak tepat akan menyebabkan agensi kita mengalami kerugian.
“Dalam pada itu, kita juga perlu menghargai peranan sebagai penjawat awam, menghargai diri, keluarga, rakan dan Negeri Kedah yang tercinta. Nilai ini menjadi asas kepada khidmat yang ikhlas dan bersemangat untuk rakyat dan mampu melahirkan kita sebagai seorang pemimpin yang baik kerana dengan adanya agensi inilah kita mendapat pekerjaan, rezeki untuk keluarga dan membina kekuatan hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Kursus Penjawat UniSHAMS Tahun 2026 di Dewan Eksperimen, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di sini, hari ini.
Hadir sama Naib Canselor UniSHAMS, Prof Dr Mohd AmyAzhar Dato’ Mohd Harif; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa, Prof. Madya Dr Muhammad Nasri Md. Hussain; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr Akli Ahmad; Pemangku Timbalan Naib Canselor Pembangunan, Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr Ahmad Rozelan Yunus; Pendaftar UniSHAMS, Mohd Fahmi Sheikh Omar; Bursar UniSHAMS, Molyna Mohd Annuar; Penasihat Undang-Undang UniShams, Dr. Nadia Murshida Abd Azzis dan Pengarah Bahagian Strategik dan Penarafan Institusi, Dr Mohd Fazali Ghazali.
Dalam perkembangan sama, Norizan juga berharap sebagai Penjawat Awam perlu mempunyai fikiran yang positif agar dapat melakukan apa sahaja dengan semangat untuk bekerja. Selain itu, kita perlu taat dan patuh kepada ketua dan organisasi.
“Saya berharap Penjawat Awam di negeri ini sentiasa mempunyai sikap memastikan sesuatu perkara itu berjalan dengan cepat, pantas dan menjadi aspirasi kepada rakan kerja kita. Memahami dan cekap mendalami ilmu semasa serta mahir menggunakan ilmu-ilmu moden juga akan membantu kita bekerja secara positif,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed