
KERAJAAN NEGERI CATAT REKOD KUTIPAN HASIL TERTINGGI SEBANYAK 103% – SANUSI

ALOR SETAR (07.01.2026) – Amanat Menteri Besar Kedah kepada Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan saban tahun menjadi tumpuan dengan nasihat-nasihat serta penghargaan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pada tahun baharu dan tahun-tahun mendatang.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kita menjalani tahun 2025 dengan pelbagai cabaran dan kita akan langkah ke tahun 2026 ini dengan lebih banyak cabaran daripada tahun lalu memandangkan dunia terus dikejutkan dengan keputusan-keputusan yang tidak dijangka.
“Kita di Kedah Darul Aman ini perlu bekerja mengikut setiap bahagian yang telah digariskan untuk kita berkerja di dalamnya dan saya mengharapkan kita akan terus menghormati bahagian masing-masing agar tidak melanggar bahagian orang lain selain tidak banyak bercakap tetapi banyak bekerja.
“Sektor awam di negeri ini memberi lebih banyak kemudahan kepada orang ramai dan juga mendatangkan banyak cabaran untuk kita selesaikan isu-isu berbangkit disamping melalui proses panjang perubahan demi perubahan dalam sistem untuk menambahbaik sesuai dengan peredaran masa.
“Pada tahun 2025, Kerajaan Negeri telah berjaya mencatat rekod kutipan hasil yang tertinggi dalam tempoh 25 tahun dengan nilai RM816 juta melebihi anggaran sebanyak RM790 juta dan pencapaian ini adalah pencapaian 103 peratus daripada sasaran.
”Lebih membanggakan pencapaian kutipan hasil melebihi 100 peratus ini telah direalisasikan dua tahun berturut-turut iaitu tahun 2024 dan 2025. Ini adalah bukti komitmen dan kesungguhan seluruh jentera pentadbiran Awam Negeri dan Persekutuan dalam melaksana serta menjayakan dasar Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Bersama Menteri Besar Kedah Tahun 2026 di Dataran Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr. Syeikh Fadzil Awang; Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abd Rahman Abdullah; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.
Dalam perkembangan sama, Sanusi merakamkan ucapan terima kasih kepada penjawat awam di negeri ini yang telah bekerja dengan penuh profesional, bertanggungjawab dan penuh komitmen tanpa mengira iklim dan cuaca yang berlaku disekitar kita.
“Dalam mentadbir negeri Kedah, banyak gagasan jangka pendek dan jangka panjang sehingga tahun 2050 dan Pelan Pembangunan Kedah yang kita sasarkan pada tahun 2035. Slogan ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’ serta ‘Negeri Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Menabur Bakti’ ini akan kekal hingga hari kiamat dan tanggungjawab Penjawat Awam adalah menghayati visi dan misi Kerajaan Negeri serta melaksanakan dengan hati yang bersih, penuh tanggungjawab kita kepada Allah dan tanggungjawab kepada sesama manusia.
”Tujuan sebenar kesibukkan kita semua setiap hari adalah cara penyampaian kita kepada rakyat dengan lebih efisien dan berkesan disamping disampaikan dalam keadaan senyum dan gembira sebelum bertemu dengan tarikh ulang tahun kita yang ke-60 untuk kita meninggalkan perkhidmatan dengan penuh ikhlas hati, gembira setelah puas menyampaikan apa yang kita ada yang memberi manfaat untuk rakyat seluruhnya.
“Sama-samalah kita hidup dalam berkasih sayang, saling menghormati, menjauhi konflik yang merosakkan asas nilai taqwa dan iman kita kepada Allah. Semoga kita semua bekerja dengan puas, bersara dengan gembira dan menikmati hidup yang masih berbaki ini dengan sekuat-kuatnya,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed