
PENJAWAT AWAM PERLU MEMPUNYAI AZAM DAN ILTIZAM BAHARU DALAM MELAKSANAKAN TUGAS YANG DIAMANAHKAN – NORIZAN

YAN (19.01.2026) – Penjawat awam merupakan individu yang dilantik untuk berkhidmat dalam pelbagai kapasiti di bawah pentadbiran Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali berkata perjumpaan sempena tahun baharu ini merupakan azam dan iltizam baru sebagai penjawat awam untuk berjaya dalam kehidupan dan tugasan yang dilaksanakan pada tahun 2026 ini.
“Sebagai penjawat awam perlulah kita tahu apakah sumbangan dan kejayaan yang kita telah capai agar kita mempunyai jasa dan bakti sepanjang berkhidmat dengan kerajaan serta kepada masyarakat sekeliling.
“Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada penjawat awam yang telah bertungkus lumus menjayakan agenda-agenda kerajaan serta menyumbang kepada peningkatan hasil negeri pada tahun 2025.
”Memandangkan daerah Yan ini dikenali sebagai ‘Daerah Pelancongan Desa’, namun pembangunan dapat dilaksanakan jika kita mempunyai perancangan yang rapi dan tersusun contohnya di Pulau Bunting, Guar Chempedak, Sungai Limau dan sebagainya yang dipimpin oleh Pegawai Daerah Yan.

”Jika kita laksanakan sesuatu pembangunan itu, haruslah melihat kepada kekuatan daerah tersebut dan Pelancongan Desa ini mampu menarik minat pengunjung dari daerah lain untuk bercuti dan makan di sini dengan pemandangan serta suasana yang sangat menyenangkan. Oleh yang demikian, aliran perbelanjaan masyarakat tidak tertumpu kepada satu daerah saja tetapi mengalir ke daerah-daerah lain juga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Daerah Yan Tahun 2026 di Dewan Dato’ Madi, Yan di sini, hari ini.
Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Pegawai Daerah Yan, Maznim Ismail; Ketua Polis Daerah Yan, Supt Mohamad Hamizi Abdullah dan Pegawai Agama Daerah Yan, Syeikh Mohd. Ikmal Hafif Azmi.
Dalam perkembangan sama, Norizan berkata penjawat awam juga perlu mempunyai kemahiran dalam tugasan masing-masing dalam melakukan kerja dengan pantas dan fleksibel di samping keramahan terhadap perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat memandangkan kita berada pada zaman teknologi yang pesat membangun.
”Apabila ciri-ciri penjawat awam sudah lengkap, maka kita perlu ‘Think State, Think The People’ bagi memacu negeri Kedah sebagai sebuah negeri yang membangun dan berjaya,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed