
AL-QURAN SENTIASA MEMBUKA RUANG RAHMAT DAN PELUANG KEPADA MEREKA YANG ISTIQAMAH – NORIZAN

ALOR SETAR (04.02.2026) – Al-Quran adalah anugerah teragung daripada Allah SWT kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan seluruh umat Baginda. Ia bukan sekadar rangkaian ayat yang dibaca di bibir, tetapi cahaya yang menerangi kegelapan, penawar bagi keresahan jiwa dan petunjuk yang membimbing insan menuju jalan kebenaran.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali berkata Al-Quran adalah kalam Allah yang suci, agung dan mulia. Justeru, ia wajar dimuliakan dengan bacaan yang penuh adab, penghayatan dan keikhlasan. Setiap helaian ayatnya seharusnya dilagukan dengan suara yang indah dan tertib, agar ia menyentuh hati, menggetarkan jiwa dan menyemai rasa kehambaan dalam diri.
“Sejarah Negeri Kedah dalam bidang Al-Quran bukanlah suatu yang asing, malah terpahat kukuh dalam lembaran kegemilangan ummah. Negeri ini telah melahirkan barisan qari dan qariah yang bukan sahaja cemerlang di persada kebangsaan, bahkan mengharumkan nama Kedah di peringkat antarabangsa.
“Alhamdulillah, pada tahun 2025 yang lalu, Negeri Kedah telah mencatatkan sejarah manis apabila berjaya merangkul Johan Keseluruhan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan. Pencapaian ini bukan sekadar satu kejayaan, tetapi bukti nyata bahawa bumi Kedah Darul Aman terus subur melahirkan bakat-bakat Al-Quran yang berkualiti, berdisiplin dan berwibawa.
“Justeru, bagi memastikan kecemerlangan ini terus terpelihara, tahun ini, usaha pencarian qari, qariah serta penghafaz Al-Quran yang terbaik diteruskan dengan penuh iltizam dan kesungguhan di mana penyertaan pada tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 10 peratus.
“Seramai 172 orang peserta menyertai kategori Hafazan Al-Quran, manakala 56 orang peserta mengambil bahagian dalam kategori Tilawah. Seramai 14 orang peserta Tilawah dan 30 orang peserta Hafazan telah berjaya melayakkan diri ke peringkat negeri, membawa bersama harapan dan amanah besar sebagai duta Al-Quran Negeri Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapannya sempena Majlis Penutup Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2026M/1447H di Raia Hotel & Convention Centre, Alor Setar di sini, hari ini.
Berangkat hadir sama Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Zubir Ahmad; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr. Syeikh Fadzil Awang; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Mohd Azam Abd Samat; Hakim Utama Mahkamah Negeri Kedah, Yang Arif Dr Johan Lee; Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abd. Rahman Abdullah; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Dato’ Dr. Syeikh Abd Ghani Zainuddin dan Timbalan Pengarah Operasi, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim.
Dalam perkembangan sama, Norizan berharap pelaksanaan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Kedah bagi tahun ini mampu menyemai penghayatan Al-Quran dalam jiwa segenap lapisan masyarakat, seterusnya menjadikan Al-Quran sebagai panduan dan bimbingan dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin mencabar.
“Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada para peserta yang telah berjaya menempah kejayaan di peringkat negeri. Bagi yang belum berjaya, janganlah berputus asa. Teruskan usaha, perbaiki kekurangan dan tingkatkan mutu bacaan serta hafazan, kerana Al-Quran sentiasa membuka ruang rahmat dan peluang kepada mereka yang istiqamah.
“Besarlah harapan patik agar pelaksanaan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Kedah Darul Aman bagi Tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi ini mampu menyemai penghayatan Al-Quran dalam jiwa segenap lapisan masyarakat, seterusnya menjadikan Al-Quran sebagai panduan dan bimbingan dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin mencabar,” ujarnya.
Sementara itu, wakil dari Daerah Kubang Pasu, Nurfikri Md. Shahidan telah dinobatkan sebagai Johan Qari bagi kategori Tilawah Al-Quran dengan wajaran markah sebanyak 85.25 peratus, manakala Johan Qariah dimenangi oleh wakil dari Daerah Yan, Nuradilah Azdi dengan wajaran markah sebanyak 85 peratus. Pemenang masing-masing membawa pulang Piala Pusingan Limpah Kurnia Sultan Negeri Kedah, Sijil Penghargaan dan wang tunai RM10,000 setiap seorang seterusnya akan mewakili Negeri Kedah ke Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Negeri Terengganu April 2026 nanti.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed