
PROJEK NAIKTARAF LRA LUBUK BUNTAR LAMA BERJAYA MENAMPUNG SEHINGGA 12,000 AKAUN PENDUDUK BANDAR BAHARU – SANUSI

BANDAR BAHARU (29.03.2026) – Penduduk Bandar Baharu kini dapat menikmati bekalan air terawat sepenuhnya di semua kawasan memandangkan Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar Lama telah siap sepenuhnya dan telah diserahkan oleh pihak JKR kepada Kerajaan Negeri.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berterima kasih kepada penduduk Bandar Baharu kerana sabar dengan projek menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar Lama ini yang ditunggu untuk disiapkan sepenuhnya pada Januari lalu.
“Kerajaan Negeri memahami bahawa isu air terawat ini bukanlah isu baharu memandang Bandar Baharu merupakan kawasan tekanan air rendah kerana berada di hujung rangkaian paip bekalan air dan ini mengganggu bekalan serta kesulitan dalam kehidupan seharian.
”Alhamdulillah dengan siapnya Projek LRA ini, ianya berjaya menampung sehingga 12,000 akaun yang pastinya dapat menyelesaikan masalah bekalan air di daerah Bandar Baharu.
“Sejak tahun 2020, Kerajaan Negeri telah menggerakkan usaha mengatasi permasalahan bekalan air ini tetapi kita mempunyai masalah akibat Covid-19 yang melanda negara apabila kita kekurangan bahan binaan apabila kilang-kilang tidak dapat beroperasi dan harga melambung tinggi yang memberi kesan kepada kontraktor. Walaubagaimanapun masalah yang kita hadapi ini, Alhamdulillah projek ini dapat disiapkan sepenuhnya pada 8 Januari 2026.
”Terima kasih kepada jabatan-jabatan dan agensi-agensi yang terlibat terutamanya kontraktor yang dilantik kerana dapat menyiapkan projek ini dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar Lama, Daerah Bandar Baharu di LRA Lubuk Buntar Lama, Bandar Baharu di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria; ADUN Bandar Baharu, Ts. Dr. Mohd Suffian Yusoff; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; Pengarah JKR Kedah, Ir. Mohd Fisal Ismail dan Pegawai Daerah Bandar Baharu, Mohd. Noor Ismail.
Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata projek LRA ini beroperasi dengan kapasiti 25MLD (Million Litres per Day / Juta Liter Sehari) manakala LRA Lubuk Buntar Lama yang telah dinaiktaraf berkapasiti 34MLD.
“Ini bermakna secara keseluruhan kedua-dua loji ini membekalkan 59MLD sehari bagi memenuhi keperluan penduduk Bandar Baharu dan sebahagian kawasan di daerah Kulim. Saya berharap selepas ini tiada lagi keluh kesah penduduk Bandar Baharu sehingga ke hujung rangkaian tidak menerima bekalan air ini.
“Dalam kita bergurau, inilah hakikat yang kita perjuangkan supaya rakyat dapat menikmati kemudahan asas seperti yang sepatutnya tanpa sebarang kesukaran. Saya di pihak Kerajaan Negeri memohon maaf di atas kesengsaraan penduduk Bandar Baharu yang terpaksa hadapi selama ini kerana kesukaran mendapatkan bekalan air,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed