
KEDAH YAKIN TARIK KEDATANGAN 6 JUTA PELANCONG SEMPENA TMK 2025
BUKIT KAYU HITAM (01 Januari 2025) – Kedah optimis untuk menarik kedatangan enam juta pelancong ke negeri ini dengan menyediakan lebih 150 acara sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelancong Thailand dilihat mampu menjadi penyumbang terbesar berikutan kedudukan negara itu yang berhampiran dengan Kedah.
Justeru katanya, kerajaan negeri akan mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa di wilayah selatan Thailand dalam pelbagai bidang khususnya pelancongan.
“InsyaAllah, selepas ini kita akan tingkatkan lagi program usaha sama khususnya dalam sektor industri makanan halal dan kita harap industri pelancongan dapat digiatkan lagi antara dua negara ini.
“Pelancongan kini salah satu sektor yang paling pesat berkembang, dan kita harap ini akan memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.
“Baru-baru ini juga, Gabenor Songkhla melawat Kedah dan kita merancang untuk membalas kunjungan bagi membincangkan langkah memajukan sektor pelancongan antara wilayah selatan Thailand dan utara semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis sambutan ketibaan pelancong sempena TMK 2025 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Keusahawanan negeri Datuk Mohd Salleh Saidin.
Muhammad Sanusi berkata, pihaknya dengan Tourism Malaysia mengeluarkan booklet atau senarai tempat menarik untuk dilawati di Kedah dan ia diedarkan kepada pemain industri pelancongan di seluruh negara.
“Kita juga buat kerjasama dengan Tourism Malaysia untuk mengadakan promosi di luar negara, saya harap tahun 2025 ini akan menjadi titik mula kepada kebanjiran pelancong ke Kedah sama ada pelancong domestik atau antarabangsa,” katanya.
Sumber Berita : Harian Metro

Comments are closed