
AL-QURAN SATU MUKJIZAT KURNIAAN ALLAH KEPADA MANUSIA SEBAGAI MANUAL PANDUAN HIDUP
ALOR SETAR (19 Februari 2025) – Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah mencemar duli berangkat hadir ke Majlis Penutup Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Kedah di Raia Hotel & Convention Centre.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali berkata Al-Quran merupakan Kalamullah yang sangat indah, satu mukjizat yang terang lagi nyata dikurniakan Allah kepada kita sebagai manual panduan kehidupan. Terdapat banyak manfaat dan faedah di dalamnya yang boleh memberi kesan dalam hidup kita bukan hanya dengan membacanya sahaja mendapat pahala, bahkan mendengar bacaan Al-Quran juga akan diberi ganjaran pahala. Maka amatlah rugi jika kita tidak mengambil deretan pahala yang Allah berikan kepada kita dengan kemuliaan Al-Quran.
“Dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Kedah ini, kita ingin mencari pembaca dan penghafaz Al-Quran yang terbaik di antara terbaik bagi membolehkan mereka mewakili Negeri Kedah di Peringkat Kebangsaan.
“Justeru itu, pencarian pembaca dan penghafaz Al-Quran yang terbaik telah bermula dari peringkat saringan lagi. Peringkat saringan telah diadakan selama 5 hari mulai 12 sehingga 16 Januari 2025 bertempat di Dewan Masjid Al Hasanah Ampang Jajar, Alor Setar, Kedah. Seramai keseluruhan 207 orang peserta telah mengambil bahagian pada tahun ini untuk kategori Tilawah dan Hafazan Al-Quran.
“Jumlah penyertaan pada tahun ini meningkat 10% dan ianya adalah yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini. Penyertaan untuk kategori hafazan adalah seramai 156 peserta manakala 51 peserta telah mengambil bahagian dalam kategori Tilawah. Pada tahun ini penyertaan dan peserta yang layak untuk Peringkat Negeri terdiri daripada 14 orang peserta Tilawah dan 37 orang peserta hafazan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penutup Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Kedah di Raia Hotel & Convention Centre, Alor Setar di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor; Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Zubir Ahmad; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr Syeikh Fadzil Awang, Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abd Rahman Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Mohd Azam Abd Samat; Pengarah JHEAIK, Dato’ Dr Abd. Ghani @ Zulkifli Zainuddin dan Timbalan Pengarah (Operasi) JHEAIK, Dato’ Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim.
Dalam perkembangan sama, Norizan memaklumkan bahawa pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Program Tahsin Al-Quran kepada para peserta Tilawah dan Hafazan yang berjaya mewakili Negeri Kedah ke peringkat kebangsaan.
“Program Tahsin ini adalah untuk memperbaiki dan meningkatkan lagi kemahiran peserta yang mewakili Negeri Kedah. Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada tahun ini akan diadakan di Dewan 2020, Taman Budaya, Kangar, Perlis Indera Kayangan bermula 27 April hingga 2 Mei 2025 nanti.
“Semoga inisiatif pelaksanaan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Kedah Darul Aman bagi Tahun 1446 Hijri Bersamaan Tahun 2025 Masihi ini akan membina penghayatan dalam diri segenap lapisan masyarakat untuk menjadikan Al-Quran sebagai panduan dan bimbingan dalam kehidupan dalam menghadapi dunia kini yang penuh dengan cabaran,” ujarnya.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed