
JEMAAH HAJI KEDAH DIHARAP DAPAT MELAKSANAKAN KESEMUA IBADAH HAJI DENGAN SEMPURNA – SULTAN KEDAH
ALOR SETAR (09 Mei 2025) – Sultan Kedah, Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Kumpulan Bakal Jamaah Haji Negeri Kedah di Raia Hotel, Alor Setar di sini, hari ini.
Baginda dalam titahnya menasihati kesemua para tetamu Allah yang terpilih pada tahun ini untuk mengekalkan tahap disiplin yang tinggi di samping mematuhi segala arahan dan saranan daripada pihak pengurusan Tabung Haji (TH).
“Beta ingin mengucapkan tahniah kepada semua bakal haji yang terpilih menjadi tetamu Allah ke Baitullah, pada tahun ini. Mudah-mudahan Ibadah Haji yang akan dilaksanakan nanti, menjadi ibadah yang akan meningkatkan lagi iman dan takwa jemaah haji sekalian. Beta turut berharap kepada para jemaah haji, agar dapat melaksanakan kesemua ibadah haji yang disyariatkan dengan baik dan sempurna seperti yang telah dipelajari semasa kursus haji yang lalu.
“Semasa musim haji, jutaan umat Islam dari pelbagai negara akan berkumpul di tanah suci. Perhimpunan terbesar ini mengajar umat Islam untuk bersabar, bertolak-ansur dan saling membantu tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam dan budaya.
“Mengambil iktibar daripada pelaksanaan ibadat haji, Beta berharap agar umat Islam di Malaysia terus bersatu hati tanpa melihat kepada sebarang perbezaan yang boleh memecah-belahkan kesatuan ummah dan keharmonian masyarakat yang terdiri daripada berbilang bangsa di negara kita.
“Beta berharap agar semua jemaah haji di tanah suci nanti dapat berdoa, memohon agar Negeri Kedah dan Malaysia akan terus diberkati, dilimpahi kesejahteraan yang berpanjangan serta dijauhi daripada sebarang musibah dan bencana. Selain itu, doakan juga supaya saudara Islam kita di Bumi Palestin dan di negara-negara Islam lain yang masih dalam kesukaran agar diberikan kesabaran dan kekuatan untuk menghadapinya.
“Ibadah haji merupakan ibadah yang memerlukan pengorbanan daripada segi wang ringgit, masa dan tenaga. Ibadah ini juga memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Oleh kerana itu, para jemaah harus bersedia dalam semua aspek, terutamanya dari segi kesihatan mental, fizikal dan spiritual. Elakkan pembaziran masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti berbual kosong atau bermain telefon bimbit yang boleh mengganggu tumpuan dan ibadah.
“Penuhi masa yang terluang dengan memperbanyakkan amalan wajib dan sunat, seperti berzikir, membaca Al-Quran, berdoa dan bermunajat kepada Allah kerana peluang ini mungkin datang hanya sekali di dalam seumur hidup,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian dalam Titah Ucapan Tuanku Sultan Kedah sempena Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Negeri Kedah Darul Aman Musim Haji 1446H/2025M di Raia Hotel & Convention Centre di sini, hari ini.
Berangkat hadir sama Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah , Dato’ Seri Norizan Khazali; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr Syeikh Fazil Awang; Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abdul Rahman Abdullah; Ahli-ahli majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah; Pengarah Wilayah Utara, Lembaga Tabung Haji, Dato’ Mohammad Mokhzani Mukhtar dan Pengarah TH Negeri Kedah, Mohd Hanifah Kamarudin.
Terdahulu Mohammad Mokhzani ketika mempersembah ucapan aluan turut menjelaskan seramai 143 orang bakal jemaah haji daripada negeri Kedah akan berlepas daripada Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar hari ini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijadualkan bertolak ke tanah suci pada penerbangan sewa khas haji pada malam hari yang sama. Seramai lebih 10,321 orang bakal haji negara kini telah berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah.
“Saya turut mengingatkan bakal-bakal haji untuk menjaga kesihatan diri sepanjang berada di tanah suci, di samping menuruti segala arahan pihak berkuasa Arab Saudi serta peraturan-peraturan yang digariskan TH bagi menjamin keselamatan jemaah dan melicinkan lagi proses mengerjakan ibadah haji.
“Saya juga ingin memohon kerjasama semua jemaah untuk mendoakan agar TH dapat melaksanakan operasi haji tahun ini dan tahun-tahun akan datang dengan lancar demi kesejahteraan semua jemaah haji negara yang kami santuni,” ujarnya.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed