
TOK – TEMASYA OGHANG KEDAH 2025 ANGKAT SENI BUDAYA TEMPATAN
ALOR SETAR – Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin mencemar duli berangkat hadir merasmikan Majlis Perasmian Temasya Oghang Kedah (TOK) 2025 di Pekarangan Stadium Darul Aman.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata sesungguhnya keberangkatan Tuanku membuktikan sokongan dan komitmen Tuanku untuk bersama-sama dengan hamba rakyat berusaha menggemilangkan industri pelancongan di Negeri Kedah InsyaAllah, industri pelancongan khususnya sektor pelancongan budaya dapat membantu memperkasakan lagi ekonomi Negeri Kedah pada masa ini dan pada masa akan datang.
”Saya ingin merakamkan ucapan tahniah secara khusus kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Kedah, Kumpulan Bangsawan Sri Kedah (KBSK), Majlis Bandaraya Alor Setar, Kedah Tourism dan Nabilah Bahrin Group Sdn Bhd serta semua ahli Jawatankuasa yang berjaya merealisasikan Temasya Oghang Kedah (TOK) tahun ini.
”Temasya Oghang Kedah (TOK) 2025 adalah manifestasi daripada rasa cinta dan penghargaan kita terhadap seni warisan budaya khususnya yang berasal dari Negeri Kedah yang telah diwarisi dari nenek moyang kita sejak zaman berzaman maka adalah penting bagi kita untuk berusaha memastikan seni budaya warisan ini tidak pupus ditelan zaman serta tidak terhakis oleh arus kemodenan.
”Menghidupkan budaya tradisional dalam situasi masyarakat cenderung untuk mengaplikasi gaya hidup moden sudah tentu amat mencabar. Dalam hal ini, minat yang mendalam terhadap kebudayaan warisan amatlah diperlukan. Bagi pihak Kerajaan Negeri, usaha mengangkat seni budaya tempatan akan terus dipergiatkan.
”Kita telah menyenaraikan seni budaya tempatan sebagai produk pelancongan budaya selari dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035 di bawah Teras 3 – Keterangkuman Sosial dan Budaya dan Teras 4 – Keseimbangan Modal Insan dan Bakat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Temasya Oghang Kedah (TOK) 2025 di Pekarangan Stadium Darul Aman di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Mohd Yusri Mohd Yusoff; Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN, Mohd Radzi Omar dan Pengarah JKKN Negeri Kedah, Sabarina Masadi.
Dalam perkembangan sama, Salleh berkata Penganjuran Temasya Oghang Kedah (TOK) 2025 bertujuan untuk mempromosikan produk pelancongan dan menyemarakkan aktiviti seni budaya warisan Negeri Kedah khususnya sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025. Kita juga tidak ketinggalan untuk mempromosikan dan menjadikan Negeri Kedah sebagai salah satu destinasi utama Tahun Melawat Malaysia 2026.
”Kerajaan Negeri menyasarkan kemasukan tujuh (7) juta pelancong sepanjang tahun ini sempena Tahun Melawat Kedah 2025, dengan peningkatan sebanyak 35 peratus berbanding 5.2 juta pelancong yang direkodkan pada tahun lalu.
”Tahun Melawat Kedah 2025 berpaksikan kepada lima komponen utama iaitu sumber alam semula jadi, gastronomi, seni, budaya dan sejarah, sebagai asas memperkenalkan keunikan Kedah kepada pelancong dari dalam dan luar negara,” ujarnya.
TOK 2025 jalinan kerjasama bersama NB Group Sdn. Bhd. dengan membawa Fantastic Food Festival By Kak Nab 13.0. Kolaborasi ini lebih besar dengan pengisian baru termasuk penyertaan seramai 120 vendor makanan viral serta penampilan 25 influencer generasi muda dan TikTokers terkenal dari 31 Julai hingga 3 Ogos 2025 bermula 8.00 pagi hingga 12.00 malam.
Sumber: Warta Kedah






Comments are closed