
POKOK MENGKUNDOR BERUSIA 100 TAHUN MAMPU JADI TARIKAN PELANCONG DI GUNUNG JERAI
ISNIN (18.08.2025)
YAN – Penemuan spesies Pokok Mengkundor yang berusia kira-kira 100 tahun di Hutan Simpan Gunung Jerai di sini bakal menambah satu lagi tarikan pelancong di Gunung Jerai yang akan diisytiharkan sebagai Geopark kedua di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata Pokok Mengkundor setinggi 25 meter yang ditemui di Gunung Jerai mampu menambah lagi aset pelancongan sedia ada di daerah itu.
“Pada hari ini saya dan beberapa pegawai dari Majlis Daerah Yan, Jabatan Hutan, PKNK dan Tourism Negeri Kedah dalam misi mencari spesis Pokok Mengkundor yang terdapat di Gunung Jerai yang berusia melebihi 100 tahun.
“Saya difahamkan Pokok Mengkundor ini, atau nama saintifiknya ‘Tetrameles Nudiflor’ banyak tumbuh di Australia, Bangladesh, Bhutan, Myanmar, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam. Di sini ia ditemui di laluan Denai Puteri Mandi, Kompartmen 20 Hutan Simpan Gunung Jerai dan istimewanya pokok ini kerana mempunyai saiz lilitan banir yang agak besar iaitu 25 pemeluk orang dewasa besarnya.
“Namun di atas Gunung Jerai, Pokok Mengkundor inilah yang paling besar dan paling tua usianya. Oleh itu, bagi pihak kerajaan ianya dilihat bukan sahaja pokok ini tetapi kawasan sekitarnya berpotensi dibangunkan sebagai salah satu produk pelancongan baharu di atas Gunung Jerai ini dan kita akan berbincang dengan Majlis Daerah Yan, Jabatan Hutan dan pihak-pihak yang berkaitan untuk merealisasikan tempat ini sebagai satu produk baharu pelancongan di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan aktiviti mendaki gunung dan melawat lokasi Pokok Mengkundor 100 Tahun Di Gunung Jerai di sini, hari ini.
Hadir sama Pegawai Daerah Yan, Maznim Ismail; Pengarah Hutan Daerah Kedah Tengah Jabatan Hutan Negeri Kedah, Nor Shahrani Nordin Ahmad; Pengurus Kanan Pengurusan Perniagaan PKNK Hotel, Mohd. Salim Sulaiman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Abdul Ghafar Saad.
Dalam perkembangan sama, Salleh juga berkata apabila tempat ini dibangunkan nanti sudah pasti akan menarik minat para pecinta alam dan pelancong yang akan datang untuk melihat sendiri Pokok Mengkundor malah mereka juga akan turut menikmati pelbagai spesis burung dan juga keindahan flora dan fauna yang indah di kawasan ini. Oleh yang demikian, sudah pasti keselamatan mereka juga perlu dititikberatkan oleh pihak yang berwajib.
”Tempat ini berpotensi menjadi kawasan untuk menyaksikan pelbagai spesies burung serta flora dan fauna lain dan sesuai untuk aktiviti merentas hutan dan mampu menggamit pencinta alam ke negeri Kedah bersempena Tahun Melawat Kedah 2025.
“Oleh kerana tempat ini terdapat dalam kawasan hutan simpan di Gunung Jerai, maka pengunjung perlu mendapatkan permit dari Jabatan Hutan untuk direkodkan untuk tujuan keselamatan dan sebagainya.
“Sebelum ini, tempat ini hanya cerita sahaja dan belum popular dan diceritakan oleh pendaki-pendaki terdahulu, tetapi apabila kita datang sendiri dan melihatnya memang benar pokok dan tempat ini wujud dan berpotensi untuk dibangunkan dan akan diusahakan secara berfasa bersama agensi-agensi yang bersesuaian termasuk Majlis Daerah Yan dan Jabatan Hutan,” ujarnya.
Sumber: Warta Kedah
Sumber: Warta Kedah





Comments are closed