
KERAJAAN NEGERI BERHASRAT MENUBUHKAN KEDAH SCIENCE CENTRE

KULIM (13.10.2025) – Kerajaan Negeri Kedah hari ini telah menganjurkan Kedah STEM Fair 2025 di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech Park. Program ini merupakan kali kedua anjuran Kerajaan Negeri Kedah yang berlangsung selama dua hari bermula 13 Oktober 2025 hingga 14 Oktober 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri kita dalam mengisi agenda atau gagasan besar negeri kita iaitu The Greater Kedah.
”Negeri Kedah hari ini berpindah dalam konteks industri pertanian kepada kebangkitan industri baru yang mula datang ke negeri kita khususnya dalam Teknologi Tinggi dan Kedah akan melangkah maju seterusnya menjadi kekuatan buat negara.
”Saya ingin menyatakan di sini untuk mengisi segala perancangan negara kita, dalam kebangkitan sesebuah negeri melalui Teras Empat Gagasan The Greater Kedah iaitu Keseimbangan Modal Insan, anak-anak Kedah ataupun anak-anak Kedah yang masih bersekolah perlu dipersiapkan untuk menjadi sebahagian daripada cerita kebangkitan sebuah negeri bernama Kedah Darul Aman.
”Hari ini saya ingin menzahirkan bagi pihak Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Dato’ Seri Menteri Besar ingin mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat yang terlibat dalam memberi sokongan dan komitmen untuk merealisasikan impian ini.
”Syarikat-syarikat kalian akan menjadi sebahagian daripada tinta sejarah negeri ini akan kebangkitan sebuah negeri yang kita akan membangunkan anak-anak kita merentasi kaum dan agama tidak mengira Melayu, Cina, India dan Siam yang akan diangkat dan diperkayakan untuk menjadikan mereka kekuatan luar biasa yang jauh lebih hebat dan berjaya daripada kita.
”Inilah yang dipanggil satu kerjasama strategik di antara kerajaan dengan industri dan pendidikan atau ‘learning institution’ bersama berganding bahu untuk membolehkan anak-anak kita yang umpama kain putih untuk dicorakkan menjadi kekuatan negara malah kebanggaan dunia.
”Semua pelajar-pelajar yang ada di sini pada petang ini, kalian adalah sebahagian daripada anak-anak yang bertuah kerana terpilih untuk mengikuti rombongan daripada kawasan daripada seluruh penjuru Negeri Kedah ini khususnya di Kulim untuk mengikuti dan mempelajari berkaitan industri teknologi tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya sempena Kedah STEM Fair 2025 di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech Park di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Mohd Azam Abd Samat; Presiden Kulim Hi-Tech Industrial Tenants Association (KITA), Dato’ Chong Nee Hwa; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kulim Hi-Tech Park Corporation Sdn. Bhd., Dato’ Mohd Sahil Zabidi dan Pengarah Eksekutif Kedah Industrial Skills and Management Development Centre (KISMEC), Mohd Yusuri Yusof.
Dalam perkembangan sama, Haim Hilman berkata dalam bajet yang akan datang ini kita berhasrat untuk menubuhkan iaitu dipanggil Kedah Science Centre yang merupakan satu usaha untuk melahirkan pelajar-pelajar Kedah yang hebat dalam teknologi tinggi di Kulim Hi-Tech Park ini.
”Kita berharap sahabat-sahabat kita iaitu pemain-pemain industri di Kulim Hi-Tech Park ini dapat bekerjasama atau memberi khidmat komuniti kepada pelajar-pelajar negeri ini yang satu hari nanti mungkin menjadi pekerja kita serta meneruskan delegasi pada masa depan.
”Syarikat-syarikat besar di sini dan seumpamanya, saya percaya kita boleh melakukan sesuatu yang biasa-biasa pada orang lain tetapi luar biasa dalam pembangunan negeri dan negara kita seterusnya usahakan bersama kita membina naratif negeri ini dengan tangan-tangan kita,” ujarnya.
Sumber: Warta Kedah

Comments are closed