
TASK TELAH MEMBELANJAKAN RM2.04 JUTA UNTUK KOMUNITI DI KEDAH

KUALA LUMPUR (08.02.2026) – Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah mencemar duli berangkat hadir ke Majlis Pelancaran Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) di M Resort & Hotel, Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin berkata TASK ditubuhkan dengan perkenan oleh Tuanku Sultan Kedah sebagai satu platform amanah dan kebajikan untuk membantu rakyat Kedah khususnya kepada golongan yang memerlukan di samping bertujuan memperkukuhkan kesejahteraan sosial rakyat Kedah.
“TASK ditubuhkan pada Oktober 2022 dan mula beroperasi pada penghujung 2023 serta diperbadankan di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri pada awal tahun 2025. TASK bernaung di bawah Tuanku Sultan Kedah dan dipimpin oleh saya selaku Presiden TASK.
“TASK beroperasi meliputi enam (6) teras strategik iaitu Pendidikan, Kebajikan Sosial, Kesihatan & Kesejahteraan, Pemuliharaan Alam Sekitar, Perlindungan Haiwan dan Sukan.
“Sehingga akhir 2025, sejumlah RM2.04 juta telah diagihkan untuk memberi manfaat kepada komuniti di Kedah dan TASK telah memperolehi kelulusan pengecualian cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan bagi taksiran tahun 2025 serta 2026 dan pemohonan akan terus dibuat pada tahun-tahun akan datang.
”TASK sangat komited terhadap ketelusan serta akauntabiliti dalam semua operasi yang dijalankan dan segala operasi yang dijalankan oleh TASK boleh dilihat dengan melayari website taskedah.org” katanya.

Tuanku berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) di M Resort & Hotel, Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Berangkat hadir sama Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamed Ariff; Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin; Tunku Puan Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff; Tunku Bendahara Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah; Toh Puan Bendahara Kedah, Yang Teramat Mulia Datin Seri DiRaja Puan Seri Dato’ Nora Abdullah dan Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Syafinaz Almarhum Sultan Abdul Halim.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali serta isteri, Datin Seri Norhasni Ishak; Menteri Kewangan 2, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta isteri Datin Seri Aidah Abu dan Dato’ Pengelola Bijaya DiRaja, Dato’ Seri Setia DiRaja Dato’ Paduka Bakar Din.
Dalam perkembangan sama, Tuanku Raja Muda berkata TASK sangat berterima kasih kepada penyumbang-penyumbang yang menyumbang sehingga RM4 juta pada hari ini di mana pihak kami juga tidak menyangka akan mendapat sumbangan yang memberansangkan sebegini.
“Walaubagaimanapun, kami di TASK perlu membelanjakan sehingga 50 peratus daripada sumbangan yang kami terima kerana ianya merupakan satu peraturan yang dikenakan oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Kami akan melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin untuk membantu golongan yang memerlukan. TASK mengalu-alukan kepada sesiapa sahaja yang ingin menyumbang dengan melayari laman web yang disebutkan tadi kerana segala hal terperinci akan dapat dilihat di situ,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed