
THE GREATER KEDAH DAPAT MEMACU PEMBANGUNAN NEGERI DENGAN LEBIH MAJU DAN BERDAYA SAING
ISNIN (27.07.2026)
JITRA – Sesi Libat Urus Gagasan The Greater Kedah bersama Pegawai Tadbir Negeri Kedah telah diadakan bagi memperkukuh kefahaman serta mendapatkan pandangan dan input dalam usaha merealisasikan agenda pembangunan Negeri Kedah secara lebih menyeluruh.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Muhamad Mahazi Ibrahim hadir pada Sesi Libat Urus Gagasan The Greater Kedah Bersama Pegawai Tadbir Negeri Kedah yang berlangsung di Dewan Tunku Anum, Kompleks Pentadbiran Daerah Kubang Pasu, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah, Arif Hani Abd. Rahman; Sekretariat The Greater Kedah, Mohammad Afifi Mohammad dan Pegawai-pegawai Tadbir Negeri Kedah.
Peserta mengikuti sesi pembentangan oleh Sekretariat The Greater Kedah, sebelum diteruskan dengan sesi libat urus bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan).
Sesi Townhall turut diadakan bagi memberi ruang kepada Pegawai Tadbir Negeri Kedah berkongsi pandangan, cadangan dan idea berkaitan pelaksanaan serta hala tuju gagasan The Greater Kedah.
Program diteruskan pada sebelah petang dengan lawatan ke DELAPAN Special Border Economic Zone (Delapan SBEZ) yang merupakan penjenamaan semula kawasan Kota Perdana di Bukit Kayu Hitam, Kedah yang melambangkan kemakmuran, hubungan dua negara Malaysia-Thailand, serta perancangan pembangunan dalam lapan fasa.
Lawatan berkenaan dimulakan dengan sesi taklimat ringkas mengenai Delapan SBEZ oleh Ketua Pegawai Eksekutif Northern Gateway Sdn. Bhd., Razwin Sulairee Hasnan Termizi.
Delapan SBEZ dilihat berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi sempadan melalui usaha menarik pelaburan berkualiti, memperluas peluang pekerjaan serta memperkukuh aktiviti perdagangan antara Malaysia dan Thailand. Kedudukan strategiknya di Bukit Kayu Hitam turut memberi kelebihan dalam mengoptimumkan pergerakan manusia, barangan, trak, perdagangan dan perkhidmatan merentas sempadan, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan aktiviti ekonomi yang lebih tersusun, produktif dan bernilai tinggi.
Pembangunan Delapan SBEZ yang dirancang secara berfasa juga diyakini mampu memperkukuh daya saing Wilayah Utara serta mewujudkan ekosistem ekonomi baharu yang menyokong pertumbuhan Negeri Kedah selaras dengan aspirasi The Greater Kedah dalam menjadikan negeri ini lebih maju, berdaya saing dan mampan.
Peserta dibawa meninjau kawasan berkenaan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai potensi dan perancangan pembangunan zon ekonomi khas tersebut.
Sesi libat urus dan lawatan ini diharap dapat memperkukuh kerjasama serta kesepakatan dalam kalangan Penjawat Awam Negeri, sekali gus menyokong usaha merealisasikan aspirasi The Greater Kedah sebagai pemangkin pembangunan Negeri Kedah yang lebih mampan dan berdaya saing.
Sumber: Warta Kedah

Comments are closed