
JELAJAH PENERANGAN AKAN MEMBERI KEFAHAMAN SEBENAR KERAJAAN NEGERI KEPADA MASYARAKAT
PENDANG (15 Jun 2025) – Kerajaan Negeri Kedah sentiasa komited dalam usaha-usaha menyampaikan penerangan bagi memberikan kefahaman kepada rakyat berkaitan agenda Kerajaan Negeri Kedah melalui kefahaman berkaitan Gagasan The Greater Kedah, Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK-2025). Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri di bawah portfolio Agama, Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Kedah mengambil tanggungjawab melaksanakan program Jelajah Penerangan Kedah Sejahtera Tahun 2025 di Pendang hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Mohd Azam Abd Samat berkata tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk memberi pendedahan kepada rakyat mengenai “Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua” yang menjadi parameter ke arah menjadikan Negeri Kedah sebagai sebuah negeri yang mengutamakan agenda kesejahteraan rakyat yang boleh dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.
“Alhamdulillah, saya difahamkan pelbagai aktiviti yang telah diadakan dalam Program Jelajah Penerangan Kedah Sejahtera Tahun 2025 ini antaranya Fun Walk, Pameran & Jualan Agensi Kerajaan & Swasta, Program Derma Darah, pemeriksaan kesihatan secara percuma, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Kuliah Dhuha Muslimat, Pertandingan Dekorasi Kek, Basikal Lambat, Makan Kuaci, Food Blind Taste Test, Pertandingan Azan & Khutbah, Forum Perdana, Pertandingan Durian Tersedap di Daerah Pendang, Perlawanan Bola Sepak Persahabatan, Persembahan Nasyid oleh NADA, Tausiah, Qasidah oleh Kumpulan Adik Beradik serta pelbagai aktiviti menarik yang telah di khaskan kepada penduduk Pendang.
“Jelajah Penerangan telah mensasarkan untuk diadakan di empat daerah iaitu Daerah Pendang untuk kali pertama dan akan diteruskan ke Daerah Bandar Baharu, Daerah Yan dan berakhir di Kubang Pasu. Selain kerjasama dari pejabat-pejabat daerah berkenaan, pihak kita juga akan mendapatkan kerjasama dari masjid-masjid di daerah berkenaan untuk dijadikan tapak program ini dan kita akan pastikan semua program Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan di seluruh daerah bagi menyampaikan penerangan berkaitan aktiviti Kerajaan Negeri kepada segenap lapisan masyarakat dan rakyat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Penutup Program Jelajah Penerangan Kedah Sejahtera Tahun 2025, Daerah Pendang di Pekarangan Masjid Sultanah Haminah di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Mohammad Yusoff @ Munir Zakaria; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai, Dato’ Dr. Hayati Othman; Pegawai Daerah Pendang, Nasrun Dato’ Mohd Sheriff dan Ketua Pegawai Kewangan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Junaidi Abidin.
Dalam majlis yang sama, Dato’ Mohd. Azam turut menyampaikan sumbangan wakalah zakat hasil sumbangan Perbadanan Negeri Kedah (PKNK) kepada 50 penerima sumbangan dari OKU Asnaf dalam Daerah Pendang.
Program Jelajah Penerangan Kedah Sejahtera Tahun 2025, Daerah Pendang yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu, 14 Jun 2025 dan berakhir 15 Jun 2025 ini turut disertai oleh lebih 30 buah gerai pameran dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta gerai jualan dari pelbagai syarikat usahawan yang terdiri dari usahawan tempatan.
Selain itu terdapat juga khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma dan program derma darah dari Kedah Medical Centre (KMC) dan taklimat The Greater Kedah dan agensi berkaitan penyalahgunaan dadah oleh AADK, KWSP serta taklimat kerjaya oleh agensi swasta selain terdapat juga acara sukan iaitu Perlawanan Bola Sepak Persahabatan serta sukaneka.
Program Jelajah penerangan ini akan melabuhkan tirainya pada malam ini dengan satu lagi program anak muda iaitu Malam Selawat Kedah Sejahtera dengan hidangan nasyid dan qasidah oleh kumpulan nasyid NADA dan ceramah Tausiah oleh Mufti Negeri Kedah.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed