
MPKP TERIMA RAIH ANUGERAH KHAS BERPRESTIJ DI PERSIDANGAN TAHUNAN WMAM 2025


RABU (10.09.2025)
KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) melakar kejayaan membanggakan apabila menerima Anugerah Khas “Excellence in Urban Environmental Management Recognition” sempena 20th Anniversary Waste Management Association of Malaysia (WMAM) Annual Conference 2025 yang berlangsung di The Royal Chulan, Kuala Lumpur.
Pengiktirafan berprestij itu disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Dato’ Ir. Gs. Dr. Mohd Azhar Abd. Hamid, sebagai menghargai usaha berterusan MPKP dalam melaksanakan pengurusan alam sekitar bandar yang mampan serta berkesan.
Yang diPertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu, Badrulhisham Sulaiman, hadir menerima anugerah tersebut bagi pihak organisasi. Menurut beliau, penganugerahan ini merupakan hasil usaha kolektif seluruh warga MPKP bersama komuniti setempat dalam memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara di daerah Kubang Pasu.
Persidangan tahunan WMAM meraikan ulang tahun ke-20 penganjurannya tahun ini menghimpunkan pakar, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta pemain industri bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan pengurusan sisa pepejal dan kelestarian alam sekitar.
Dengan pengiktirafan tersebut, MPKP bertekad untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan perbandaran, memperluaskan program kesedaran masyarakat, serta mengorak langkah ke arah menjadikan Kubang Pasu sebuah perbandaran mampan, bersih dan kondusif menjelang tahun 2035.
Sumber: Warta Kedah

Comments are closed