
PELABURAN RM47 JUTA MANULI RYCO HYDRAULICS BUKTI KEYAKINAN GLOBAL TERHADAP KEDAH SEBAGAI HAB PERINDUSTRIAN

KHAMIS (09.10.2025)
KUALA KETIL – Syarikat antarabangsa dari Eropah, Manuli Ryco Hydraulics Sdn. Bhd., hari ini merasmikan pembukaan kilang pembuatan terbaharu mereka di Kawasan Perindustrian Kuala Ketil, Kedah Darul Aman dengan nilai pelaburan berjumlah RM47 juta. Manuli Ryco Hydraulics merupakan sebahagian daripada Manuli Ryco Group, sebuah kumpulan global yang terlibat dalam reka bentuk, pengeluaran dan pengedaran penyelesaian hos dan penyambung hidraulik untuk pelbagai industri termasuk automotif, pembinaan, tenaga dan pertanian.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dalam ucapannya berkata kilang ini akan menjadi pusat pengeluaran utama bagi hos hidraulik dan industri, membekalkan pelbagai sektor seperti automotif, pembinaan, marin, pertanian dan tenaga, sektor-sektor yang bukan sahaja menggerakkan KDNK negara, malah kehidupan seharian.
“Pelaburan ini juga merupakan sebahagian daripada strategi global Kumpulan Manuli Ryco untuk memperkukuh rangkaian pengeluarannya di Asia, meningkatkan kecekapan operasi, serta menjamin daya tahan rantaian bekalan global. Visi ini amat sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Negara 2030 (NIMP 2030) dan strategi industri Kedah yang menekankan pembuatan berimpak tinggi, pemindahan teknologi, dan penciptaan pekerjaan mampan.
“Kami amat menghargai keputusan Manuli Ryco Hydraulics memilih Kuala Ketil sebagai lokasi pelaburan, pada waktu syarikat-syarikat besar lain mungkin memilih KHTP. Ini menunjukkan keyakinan tinggi pihak pengurusan Ryco terhadap potensi Kuala Ketil sebagai hab perindustrian baharu. Ini bukan sekadar majlis pembukaan kilang. Ia adalah simbol kepada kerjasama, kemajuan dan kerjasama antara Kedah dan peneraju industri Eropah yang dihormati, kisah kemajuan ke arah kecemerlangan pembuatan Malaysia, dan langkah bermakna ke arah masa depan.
“Komitmen ini dipandu oleh visi The Greater Kedah yang merangkumi semua aspek penting demi memastikan kesejahteraan generasi kini dan akan datang. Usaha mengembalikan kegemilangan Kedah menuntut pendekatan menyeluruh meliputi bidang ekonomi, sosial, pengurusan sumber alam, tadbir urus fiskal negeri, undang-undang dan kehakiman Syariah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Kilang Manuli Ryco Hydraulics Sdn. Bhd. di Kilang Manuli Ryco Hydraulics Sdn. Bhd. MRMY 2 Loading Bay di sini, hari ini.
Hadir sama Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Kumpulan Manuli Ryco, Dardanio Manuli; Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Kedah/Perlis, Nazlizan Abdullah; Ketua Pegawai Operasi, Invest Kedah Berhad, Noor Ikhsan Abd Aziz; Ketua Pegawai Kewangan, Ketua Sumber Manusia & Ketua Pegawai Maklumat (CFO, CHRO & CIO), Manuli Ryco Hydraulics, Franco Gerla dan Pengarah Pembuatan Hos, Manuli Ryco Hydraulics, Florian Pudack.
Dalam perkembangan sama, Haim berkata Kerajaan Negeri Kedah sentiasa menegaskan bahawa setiap ringgit pelaburan mesti memberi impak sosial kepada rakyat. Melalui Invest Kedah Berhad (IKB), kita bukan sahaja memudahcara kelulusan pelaburan tetapi memastikan ia selaras dengan rantaian bekalan tempatan, program pembangunan kemahiran dan pertumbuhan komuniti.
“Saya menggalakkan Manuli Ryco bekerjasama dengan institusi tempatan untuk melatih belia Kedah dalam kemahiran teknikal dan kejuruteraan serta melaksanakan pemindahan ilmu kepada masyarakat. Pelaburan terhadap manusia adalah pelaburan paling berharga kerana kilang menghasilkan barangan tetapi pendidikan menghasilkan kemajuan yang berkekalan.
“Perindustrian tidak seharusnya menjejaskan rakyat, sebaliknya mesti memperkasa mereka dengan kemahiran, pendapatan dan taraf hidup yang lebih baik. Pembangunan bukan hanya tentang statistik atau keuntungan tetapi juga tentang mencipta nilai yang mengangkat taraf hidup dan memastikan kemajuan dirasai semua lapisan rakyat.
“Kedah bukan sekadar negeri sawah padi dan warisan sahaja, tetapi juga sebagai negeri inovasi, ketahanan dan kecemerlangan industri. Kita negeri tradisi tetapi juga negeri transformasi. Kerjasama ini membuktikan bahawa kejayaan boleh dicapai apabila kerajaan, industri dan masyarakat berganding bahu,” ujarnya.

Comments are closed